Selepas lebih sedekad mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin kembali aktif dalam politik dalam usaha untuk mengalahkan seterunya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Spekulasi bertiup kencang bahawa doktor perubatan berusia 91 tahun itu bakal menerajui sebuah parti politik baru, yang terdiri daripada bekas ahli Umno.
Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kemungkinan itu sedang dipertimbangkan.
“Kita akan adakan mesyuarat pada Khamis ini, jam 3 petang dengan semua pemimpin Pakatan Harapan untuk perbincangan menghadapi pilihan raya umum ke-14.
“Kita tengah pertimbangkan penubuhan parti baru yang bakal diterajui Tun Dr Mahathir,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, sambutan daripada pemimpin pembangkang adalah menggalakkan setakat ini.
“Kita dapat respon yang menggalakkan dari parti pembangkang Pakatan Harapan.
“Kita akan bersama dengan Pakatan Harapan, bergabung tenaga utk menentang salah laku rasuah dan perbetulkan kepimpinan,” katanya.
Cadangan penubuhan sebuah parti baru timbul beberapa minggu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dipecat daripada Umno kerana bekerjasama dengan pembangkang.
Muhyiddin ketika itu berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan satu platform politik baru.
Walau bagaimanapun, Khairuddin berkata kedua-dua Muhyiddin dan Mukhriz tidak akan hadir pada mesyuarat Khamis ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, kerana mereka berada di luar negara.
Bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, juga telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat, katanya.
Shafie meninggalkan Umno dua minggu lalu selepas beliau digantung oleh Majlis Tertinggi.
Mahathir dan pembangkang telah menjalinkan kerjasama di bawah gerakan Selamatkan Malaysia dalam usaha untuk menggulingkan perdana menteri.
Walau bagaimanapun, kempen itu ternyata tidak berkesan apabila pilihan raya kecil berkembar di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan BN memperolehi kemenangan besar.
Malaysiakini difahamkan bahawa pembangkang berbelah-bahagi sama ada Dr Mahathir harus mengetuai usaha berkenaan.
Ada yang beranggapan adalah tidak sesuai untuk bekas perdana menteri yang juga pernah dilemparkan dengan pelbagai salah laku dan penyalahgunaan kuasa, untuk mengetuai pembangkang yang lantang dengan desakan untuk pembaharuan.
Walau bagaimanapun, ada yang berhujah bahawa pembangkang yang lesu dan begitu rapuh hari ini memerlukan kepimpinan dan hala tuju, yang boleh dibekalkan oleh Dr Mahathir.
Baru-baru ini, mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengutus surat pedas, memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin PKR terhadap bahaya bekerja dengan Mahathir.