Kira-kira 200 peserta baju merah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur bagi membantah kenyataan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang didakwa menghina Islam.
Seramai 30 anggota polis membuat sekatan di hadapan ibu pejabat berkenaan.
Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku tolak menolak di antara peserta himpunan dengan anggota polis.
Kumpulan berkenaan turut membawa plakad yang tertera tulisan 'DAP Rasis' dan 'Respek Islam dan mula melemparkan duit neraka ke arah bangunan parti itu.
Duit neraka adalah menyerupai wang dan mengikut adat Cina ia dibakar sebagai persembahan kepada nenek moyang si mati.
Ia terus dilemparkan ketika penunjuk perasaan yang diketuai oleh Pemuda Umno berkumpul untuk melepaskan kekecewaan mereka terhadap seorang ahli parlimen DAP yang dituduh menghina Islam.
Disoal mengenai duit neraka itu, seorang penunjuk perasaan itu menjawab: "Kerana kita nak kasi orang DAP mati ma."
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang berada di sebelah lelaki yang tidak dikenali itu menambah: "Lebih kurang macam ini la, dia mahu Umno mati, kita pun mahu DAP mati.”
Polis cuba berunding dengan penganjur himpunan dan enggan membenarkan wakil DAP bertemu mereka.
Pada 6 Julai lalu, Nga dalam ucapan Aidilfitri menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan 'dedak'.
Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.
Nga juga mengundang masalah apabila Selasa lalu memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri di akaun Facebooknya.
Ia dikatakan membawa makna simbol agama Kristian.
Selepas berunding, polis kemudiannya, hanya membenarkan sekumpulan kecil pemimpin perhimpunan itu untuk masuk bertemu dengan wakil DAP Chu Yoon Ming bagi menyerahkan memorandum tersebut.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii Razlan mendesak pihak polis mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan ke atas Nga kerana mempermainkan agama Islam.
“Saya nak minta pihak polis akta hasut perlu diaktifkan kepada Nga Kor Ming. Tangkap dia, jadikan beliau teladan.
“Jangan mempermain agama sewenang-wenangnya,” katanya dan disusuli letupan mercun bola yang dibakar untuk kali kedua.
Razlan turut mendesak supaya Nga meminta maaf secara terbuka kerana tindakannya itu dilihat tidak mempunyai integriti serta anti Islam.