Paling Popular
Terkini

ULASAN l Perdana menteri kita adalah menteri kewangan. Justeru, sepatutnya, apabila kerajaan yang diketuai oleh perdana menteri yang juga adalah ketua negara membuat sesuatu keputusan, ia tidak seharusnya menjadi punca kekeliruan, bukan?

Malangnya, ini tidak berlaku.

Dalam pertikaian KLIA2 sekarang, ada suara-suara aneh yang seolah-olah timbul akibat enjin jet rosak.

Kenyataan Pengarah Urusan MAHB bahawa KLIA2 bukannya sebuah terminal kos rendah mengejutkan kebanyakan orang kecuali kami... ahli-ahli parlimen pembangkang!

Kami telah meminta jawapan di parlimen mengapa terminal bajet yang pada asalnya sepatutnya berjumlah RM1.7 bilion telah melonjak kepada RM4 bilion.

Tiada siapa daripada kerajaan seolah-olah mengambil berat ataupun peduli untuk memberi penjelasan yang memuaskan hati.

Bangunan yang pada asal sepatutnya hanya dua tingkat menjadi lima tingkat tinggi. Keluasan lantai meningkat dengan ketara untuk bertukar menjadi sebuah kompleks membeli-belah yang luas.

Kami mempersoalkan di Parlimen mengapa lapangan terbang itu berpindah dari tapak asalnya di utara, yang mempunyai tapak tanah keras, ke tanah paya di barat yang bermasalah dan lembut.

Akibatnya, kos kerja tanah meningkat daripada kira-kira RM35 juta kepada RM860 juta dan masalah penyelesaian tanah itu berterusan sehingga hari ini.

Tidak hairanlah ia akhirnya menelan kos RM4 bilion dan tidak lagi boleh dianggap sebagai terminal kos rendah. Tetapi ... kerajaan masih menegaskan ia adalah terminal kos rendah.

Namun hari ini kenyataan pengarah urusan MAHB bercanggah dengan kerajaan dengan mengesahkan KLIA2 bukan lagi satu terminal kos rendah. Tidak hairanlah rakyat keliru dan bosan.

Rakyat Malaysia keliru

Kita boleh memahami kekecewaan Tan Sri Tony Fernandes dalam usaha untuk membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia dengan AirAsia dan dasar tidak keruan kerajaan serta pembaziran wang rakyat.

Gambaran KLIA2 oleh Tony sebagai "Frankenstein" adalah wajar kerana tiada siapa yang pasti bagaimana "raksasa" itu sepatutnya menjadi ... terminal bajet atau mewah.

Jika kenyataan terkini MAHB bahawa ia bukan terminal kos rendah adalah benar, maka apa yang dilakukan oleh semua syarikat penerbangan kos rendah di sana?

Rakyat Malaysia keliru dan terkejut dengan semua hujah-hujah ini dan perbelanjaan yang membazir.

Apa yang sangat jelas seolah-olah hampir tiada kawalan kos dan kualiti dalam pembinaan KLIA2 dalam bidang kritikal.

Kosnya melambung dari RM1.7 bilion pada awal kepada RM4 bilion membuktikan pengurusan bajet yang teramat lemah.

Kegagalan menjelaskan pembinaah di atas tanah yang bermasalah menyebabkan kerja-kerja tanah sahaja meningkat daripada RM35 juta kepada RM860 juta, adalah satu skandal.

Paling mengejutkan bahawa kita sentiasa terpaksa menampung kerja-kerja pembaikan di kawasan landasan yang juga berbahaya terhadap pesawat yang bergerak.

Mungkin kenyataan MAHB bahawa ia bukan satu terminal kos rendah tidak tepat.

Kos asal melambung tinggi dan hari ini, bertahun-tahun selepas selesai pembinaannya, kita pembayar cukai masih menampung kos pembaikan yang berterusan.

Mungkin Tony perlu menukar slogan AirAsia iaitu "kini semua orang boleh terbang" kepada... "kini semua orang boleh menangis".

Setakat kos berkenaan, ia terus naik, naik dan langit adalah had!

Tidakkah ada sesiapa yang tahu apa makna kebertanggungjawaban?


Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad adalah ahli Parlimen Kuala Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS