Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Saya tak kesal kata ‘baliklah kalau berani’ kepada IS

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau tidak menyesal mengeluarkan kata-kata ‘baliklah kalau berani’ kepada rakyat negara ini yang menganggotai militan Negara Islam sebelum insiden pengeboman di Puchong.

Namun, beliau berkata, kata-kata itu tidak bermaksud sebagai satu cabaran kepada kumpulan pengganas tersebut.

"Tidak, saya tidak menyesal berkata demikian. Kenapa harus saya menyesali apa yang saya katakan? Untuk mencabar (sesiapa) bukan tugas polis.

"Saya tidak mencabar mereka. Apa yang saya katakan adalah 'baliklah kalau berani.’ Saya tidak mencabar mereka," katanya kepada wartawan semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.

21 Jun lalu, kumpulan pengganas itu menerusi satu video propaganda mengeluarkan ancaman terhadap pasukan keselamatan negara.

"Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak lagi akan aman sebentar lagi.

“Kami akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat-sahabat kami yang berada di sana, insya-Allah akan memenggal leher-leher kalian,” kata lelaki dalam video itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin, yang dipercayai berpangkalan di Syria.

Mengulas ugutan itu, Khalid pada 24 Jun tampil dan berkata: “Kalau nak buat ugutan dari jauh beranilah. Balik la,” katanya.

Empat hari kemudian, sebutir bom tangan dilemparkan ke sebuah kelab malam di Puchong, serangan yang menurut polis berkaitan dengan IS.

Khalid berkata polis masih terus memburu dua lagi suspek serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, baru-baru ini.

"Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden
itu agar tampil membantu pihak polis," kata Khalid.

Pada kejadian 28 Jun itu, lapan cedera, seorang daripadanya parah, dalam insiden
letupan bom tangan dekat sebuah premis hiburan di IOI Boulevard, Puchong.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira 2.15 pagi itu ketika pengunjung premis menyaksikan perlawanan kejohanan bola sepak Euro 2016.

Khalid pada sidang akhbarnya hari ini, sekali lagi mengingatkan media supaya tidak memberi ruang dan mengagung-agungkan pengganas.

"Saya memberi amaran semalam - akhbar yang memberi ruang kepada orang-orang ini, (dan) jika ia mengancam keselamatan negara; kami akan mengambil tindakan terhadap kamu. Ini sebagai peringatan daripada saya dan ini bukan satu permainan.

"Jangan memberi ruang kepada orang-orang yang mengancam kita. (Kamu) pergi menemubual mereka, apa yang cuba kamu lakukan?" soalnya.

Akhbar The News Straits Times dan Oriental Daily News sebelum ini menerbitkan wawancara dengan pemimpin IS Malaysia, yang memberi amaran tentang serangan selanjutnya.

Kedua-dua akhbar itu memetik Muhammad Wandy Mohamed Jedi, yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan bom tangan pada 28 Jun lalu ke atas kelab malam Movida.

"Media yang ingin mencari kelainan berita dengan menyiarkan temubual media bersama anggota IS warga Malaysia di sana (Syria) sebenarnya boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Saya tidak kisah jika mahu temu bual (dengan IS) tetapi tidak perlu menyiarkannya kepada awam. Mana-mana media tempatan yang memberikan ruang kepada IS untuk menyalurkan agenda mereka akan diambil tindakan tegas," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS