Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagaimana PM rasa dihina jika tiada dalam kumpulan WhatsApp?
Diterbitkan:  Jul 3, 2016 6:33 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Peguam Shahredzan Johan hari ini mempersoalkan tindakan polis menangkap seorang penulis berusia 76 tahun yang didakwa menghina perdana menteri melalui perbualan dalam kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata tidak mungkin Datuk Seri Najib Razak dihina kerana perdana menteri itu bukan sebahagian daripada ahli kumpulan sembang WhatsApp berkenaan.

"Mesti ada pertalian antara menghina dan orang yang menjadi subjek penghinaan. Bagaimana pertalian boleh wujud jika PM tidak berada dalam kumpulan itu?" katanya dalam laman sosial hari ini.

"Jika saya dalam kumpulan WhatsApp dengan @pedoqpop (Pengguna Twitter) dan saya menghantar sesuatu yang menghina mengenai beliau. Kemudian ya, pasti dia boleh laporkan saya di bawah Seksyen 233," katanya sebagai contoh.

"Hati pemimpin kita ini mesti dibuat daripada kertas tisu," kata Shahredzan dalam tweetnya.

Polis sedang menyiasat penulis itu di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara setahun maksimum atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 berhubung penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi untuk perkara lucah, sumbang, komen palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen turut menyelar pihak berkuasa kerana menyalahgunakan akta untuk melindungi perasaan seorang pemimpin.

"Kemudian gelar dirinya seorang demokrat. Cuba tengok," katanya tanpa menamakan pemimpin itu.

Najib menyifatkan dirinya sebagai seorang demokrat berikutan referendum United Kingdom untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Dalam tulisan di Twitter, Najib berkata: "Pengundi di UK telah bersuara. Sebagai demokrat, kita harus menghormati keputusan tersebut. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan kami di Britain dalam menempuh masa depan baharu yang mereka pilih".

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS