Bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mahu menyibukkan dirinya selepas meletakkan jawatan dalam kabinet dengan mempelajari bahasa Arab.
Menurut laporan Sinar Harian hari ini, Husni akan berlepas ke Jordan untuk tujuan itu, tetapi tidak menyatakan tarikh untuk melakukannya.
“Saya tengah merancang ke negara itu selama tiga bulan untuk belajar bahasa Arab, pengajian al-Quran dan hafazan,” ujar beliau, memetik laporan Sinar Harian.
Bagaimanapun, seperti tahun-tahun yang lalu, Ahmad Husni masih mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada hari kedua hari raya di kediamannya di Sungai Rokam, Perak.
"Pertemuan dengan rakyat pada majlis rumah terbuka itu nanti akan berlangsung seperti kebiasaan, meskipun sedar bakal berdepan dengan pelbagai respons berhubung pengunduran (saya) dalam Kabinet dan parti.
"Kita 'enjoy' (berhibur) sahaja,” tambah beliau.
Beliau langsung tidak mengulas sebab-sebab peletakan jawatan secara tiba-tiba daripada kerajaan dan Umno.
Baru-baru ini, penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa Ahmad Husni meletakkan jawatan kerana kecewa tidak diberikan kenaikan pangkat.
Pada hari Isnin yang lalu, Ahmad Husni mengumumkan peletakan jawatan daripada menteri kabinet sehinggalah semua jawatan dalam Umno sambil meminta semua pihak agar menghormati keputusannya atas sebab peribadi.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, tempat Ahmad Husni digantikan oleh Datuk Johari Abdul Ghani.
Ahmad Husni melepaskan jawatan Bendahari Umno, Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN kawasan Parlimen Tambun.