Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Negara boleh rosak kerana berita palsu – Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan para pengamal media di negara ini supaya tidak sewenang-wenangnya melaporkan berita palsu kerana ia boleh merosakkan negara.

Katanya lagi, media juga tidak seharusnya berfikiran berita yang buruk boleh menjual berita atau mengaut keuntungan kerana ia tidak akan membantu untuk mendidik rakyat di negara ini.

“Soal pokoknya, kita bangunkan negara kita. Kita nak bawa negara kita kehadapan, kalau nak bawa negara kita kehadapan lebih maju maka tahap pemikiran rakyat juga kita mesti didik supaya rakyat kita ada nilai ‘keintelektualan’ , orang putih kata educate the public to be a thinking, discerning.

“Kita ada matlamat, bukan nak hangatkan sesuatu perkara, bukan nak mensensasikan berita apatah lagi ia berita palsu. Kalau itu matlamat kita, we are doing a disservicing in Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis berbuka puasa di ibu pejabat Kumpulan Utusan, hari ini.

Kata Najib, sekiranya kerajaan mengambil tindakan kepada media pihaknya akan dituduh sebagai terlalu autokratik.

Namun, katanya, jika akta multimedia tidak dikuatkuasakan, negara ini akan rosak kerana berita-berita palsu itu.

“Kita boleh dalam zaman sekarang guna akta multimedia, ambil tindakan penguatkuasaan kerajaan akan dituduh sebagai terlalu autokratik, terlalu diktator.

“Sebaliknya, kalau tak kuatkuasa berlaku sewenang-wenangnya cerita (palsu) ini dan akhirnya rakyat rosak negara punah jadi kita mesti ada perseimbangan, mesti ada guideline,” katanya.

Jelasnya lagi, media seharusnya berperanan sebagai pihak yang membantu kerajaan untuk memajukan negara.

Justeru, katanya, sudah menjadi tanggungjawab media untuk menyampaikan berita yang benar dan tepat kepada rakyat di negara ini.

“Sebab itulah peranan media sangat besar sekali, ia mesti dipaksikan tepat, benar, bertanggungjawab dan dalam konteks persekitaran hari ini.

“Kalau kita dapat jadikan ni sebagai pegangan kita, maka kita sampaikan berita cepat, tepat, penuh bertanggungjawab dan cepat jua maka kita memainkan peranan dalam membantu kerajaan dan negara untuk mencapai hasrat kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS