Sebuah portal pro-Umno mempersoalkan alasan untuk tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan pengggunaan pesawat peribadi kerajaan oleh isteri perdana menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor.
“Melalak salah guna kuasa sini, melalak salah guna kuasa sana tapi mana laporannya, apa kesalahannya?” kata Mykmu.net.
Sambil membidas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang membangkitkan isu itu, portal berkenaan menyoal sama ada beliau memerlukan kebenaran presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membuat laporan.
Ini jelas merujuk kepada skandal habuan "wanita dan wang" yang didakwa melibatkan kerajaan negeri Selangor yang juga didedahkan oleh ahli parlimen Pandan itu.
Mengulas lanjut, Mykmu berkata penggunaan jet peribadi itu dibangkitkan adalah kerana agenda politik sempena dua pilihan raya kecil yang bakala berlangsung pada 18 Jun ini.
Menurut portal itu, isteri seorang perdana menteri sentiasa diberikan keistimewaan menggunakan jet kerajaan berkenaan.
“Dah memang isteri perdana menteri diberi kemudahan itu sejak zaman berzaman.
“Penulis yakin isteri bekas perdana menteri yang dulu pun lebih banyak guna jet kerajaan termasuk seorang yang suaminya saja jadi perdana menteri 22 tahun,” katanya yang merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Mykmu, isu itu adalah mudah, dan tidak memerlukan seseorang yang berpendidikan dari kota London untuk mencari penyelesaiannya.
“Mudah, kalau tak layak (untuk menggunakan jet) tapi guna juga, dah boleh sangat lapor itu.
“ Malangnya dah berhari-hari melalak, lapornya tak jugak, maksud tak ada apa kesalahan yang dilakukan.
“Soal membazir dan sebagainya itu merepek, takkan kos perjalanan satu hari, sama nilai dengan boleh beli jet satu lagi?
“Bulan puasa pun menipu tak berhenti,” katanya.
Penulis artikel itu juga menggesa supaya tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang menjaja dakwaan tersebut.
“Penipu ini tidak boleh dibiarkan berterusan, kalau tidak jadi macam Mahathir, taksub sangat dengan penipuannya sampai apa penjelasan pun dah tak dipandang, cakap dia saja yang betul, pandangan dia saja yang benar.
“Memang tugas khas dia ni menipu merata, buktinya, banyak ahli parlimen pembangkang yang ada, kenapa hanya dia saja (menipu).
“Memang tugas dia, sebab itu mudah, ambil tindakan, saman kalau boleh sampai tinggal seluar dalam,” katanya.