Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu dekati, fahami Umno
Diterbitkan:  Jun 11, 2016 3:21 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti Islam itu cuba memahami Umno dalam usaha mendekati parti Melayu itu.

Kata beliau usaha berkenaan dijalankan atas dasar "kepentingan Islam".

Menurut anggota parlimen Pasir Mas itu, PAS mahu meyakinkan Umno bahawa persefahaman atas dasar Islam perlu khusunya melalui rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa PAS bagi meminda Akta 355.

Nik Abduh berkata selain Umno PAS juga cuba memahami pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“PAS cuba faham elok-elok Umno, NGO, kalau mereka tumpu di atas jalan ini (agama), akan sampai satu masa kita boleh bersatu.

"Kita buat perbincangan, kita akui kita dekati Umno untuk fahamkan mereka - bukan hanya rakyat - bahawa ada benda yang kita bertengkar (khususnya) soal politik dan nak tukar pemimpin, ada benda kita kena kongsi bersama, iaitu agama.

"Setakat mana Umno faham agama yang boleh kita yakinkan mereka? Kalau mereka terima, alhamdulillah, itu baik,” katanya dilapor Sinar Harian, hari ini.

Nak maju kena bersatu

Menurut Nik Abduh lagi, PAS bukan sahaja berniat, malah berazam untuk bersatu dengan Umno.

Katanya ia kerana matlamat penubuhan parti Islam itu adalah bagi menyatukan umat "di atas jalan yang betul", selain aspek penyatuan parti politik.

“Memang PAS ditubuhkan untuk menyatukan ummah. Bukan hanya niat, dia (ada) niat, azam, ada belaka," katanya.

Pada masa sama dalam temu bual itu juga Nik Abduh menyentuh tentang kerjasama PAS dengan parti pembangkang lain.

"Jadi tiada sebab kita nak berpisah dengan PKR, nak balas dendam dengan DAP.

“Islam suruh menyatukan umat manusia, bukan umat Islam saja.

"Tapi saat ini kita berpecah (dengan parti pembangkang lain). Suatu hari nanti, kita tak tahu. Itu (perpaduan) kita usahakan sebab memang manusia ini memang tidak akan maju kalau tak bersatu,” katanya.

Bagaimanapun tambah Nik Mohamad Abduh, penyatuan Umno dan PAS bukan berlandaskan politik, tetapi ia lebih kepada memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS