Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagaimana rakyat masih sokong Najib? Kisah Ramadan Mahathir
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 7:02 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

ULASAN l Seperti biasa saya ke bazar Ramadan untuk membeli aneka jenis masakan yang hanya terdapat di bulan puasa.

Hari pertama saya ke bazar di Putrajaya. Lokasi bazar telah dipindah tetapi pelanggan ramai seperti biasa.

Hari kedua saya ke Kampung Baru. Saya kagum dan gembira kerana pihak berkuasa sudah mendirikan bumbung untuk melindungi gerai dari hujan dan panas.

Kain berwarna-warni menghiaskan siling yang juga mengurangkan panas matahari.

Tanpa dirancang saya bertemu dengan pegawai yang bertanggungjawab menghiaskan bazar Ramadan Kampung Baru dan saya ucap tahniah kepadanya.

Katanya tahun hadapan keselesaan dan keindahan pasar itu akan diperbaiki lagi. Sekali lagi saya ucap tahniah kepadanya.

Sebelum saya masuk kereta, dia menyatakan kegembiraannya bahawa dia diberitahu saya tidak akan pergi ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar

Saya terpaksa jelas bahawa saya akan berkempen di kedua-dua tempat. Bulan puasa bukan masanya untuk kita bersikap kasar. Saya akan cuba elak dari menggunakan perkataan yang kasar.

Sesungguhnya saya tidak faham bagaimana ada orang yang masih sokong Najib.

Di Brazil dan Kenya dan beberapa negara lain, tidak banyak bukti yang menunjukkan pemimpin mereka terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa.

Tetapi tuduhan masih dibuat terhadap mereka. Presiden Brazil digantung jawatannya oleh hakim besar supaya tidak mengganggu siasatan terhadapnya.

Di Malaysia juga Presiden Umno dan Perdana Menteri pernah meletakkan jawatan apabila ternampak rakyat tidak lagi sokong mereka.

Tetapi bukti salahlaku Najib adalah jelas dan didedah secara terbuka sehingga ke seluruh dunia dan tidak dapat dinafikan olehnya.

Berpuluh akhbar dan TV negara-negara asing menyiarkan laporan yang dilengkapi dengan gambar dan dokumen dan surat berkenaan salah guna kuasa oleh Najib dan kehilangan berbillion duit 1MDB dan wang beribu juta berada dalam akaun peribadi Najib.

Benar di Malaysia akhbar arus perdana tidak pernah siar perkara-perkara ini. Tetapi media sosial menunjukkan rakyat mengetahui akan kesalahan Najib dan sudah tidak percaya padanya.

Rakyat menuntut supaya dia berhenti dari menjadi Perdana Menteri.

Di bawah Najib parti Umno ditolak dan dikecam oleh orang Melayu dan ramai ahli; Umno sudah jadi lemah dengan pencapaian yang terburuk dalam PRU 13.

Besar kemungkinan Umno akan kalah dalam PRU 14, jika Najib memimpinnya. Semua ini berlaku semasa kepimpinan Najib.

Rakyat Malaysia berasa amat malu apabila berada di negara lain kerana ditanya apa sudah jadi kepada negara kamu. Ada orang asing yang berkata “rasuah” apabila mereka ketahui kerakyatan pelawat dari Malaysia.

Ada rakyat Malaysia, apabila ditanya di luar negara dari mana mereka datang enggan menyebut Malaysia kerana malu.

Demikianlah malunya mereka dengan keadaan di negara mereka. Najib sendiri melarikan diri apabila akhbar asing cuba menemuinya. Amat memalukan apabila dia terpaksa guna jalan belakang bagi mengelak di soal akhbar.

Tetapi di Malaysia masih ada ahli dan pemimpin Umno yang mempertahankan Najib, yang cuba menunjuk kebaikan Najib. Walaupun mereka gagal namun mereka terus menyokong Najib.

Saya tidak menjadi ahli mana-mana parti sekarang. Parti saya Umno sudah tidak mencerminkan Umno yang ditubuh pada 1946 di Istana Besar, Johor Bahru.

Ia sudah dirampas oleh Najib dan diguna untuk mempertahankan dirinya. Saya tinggalkan parti Najib ini untuk jadi rakyat biasa.

Demikianlah perbezaan parti milik Najib dengan Umno sehingga apabila perwakilan dilarang menyebut atau membahas 1MDB dan 2.6 billion dalam akaun Najib semasa mesyuarat agung dan di luar, mereka akur. Tidak ada bantahan. Sebaliknya dahulu perbahasan terbuka tidak pernah dilarang.

Semangat kebangsaan Umno yang berjaya menolak Malayan Union, memerdekakan Malaya dan Malaysia, membangunkan negara sehingga dihormati dunia sudah tidak lagi ada pada ramai ahli dan pemimpin Umno.

Saya tidak ada parti. Namun sebagai rakyat Malaysia saya tidak boleh mengasingkan diri daripada gerakan rakyat untuk menyingkir Najib.

Mereka sudah lancar Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib. Saya sokong Deklarasi ini dan sudah tandatanganinya. Hakikatnya pilihanraya kecil ini bukan untuk menukar Kerajaan atau dasar Kerajaan. Jika BN kalah pun Kerajaan Najib tidak akan jatuh.

Tetapi kekalahan BN akan memberi mesej kepada Najib secara jelas bahawa rakyat menolak kepimpinannya.

Penyertaan saya hanya untuk menerang dan mendesak pengundi akan pentingnya Najib ditolak dan deklarasi rakyat disokong. Jika Najib menang maka ia akan terus menekan rakyat kerana mempercayai rakyat bersetuju dengan segala perbuatannya .

Selamat berpuasa.


Tun Dr Mahathir Mohamad adalah bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS