Keluarga seorang remaja yang sedang menjalani hukuman penjara 12 bulan kerana menghina Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa dia dipukul ketika dalam tahanan polis.
Perkara itu didedahkan Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khairul Nizam Abd Ghani yang melawat keluarganya di Tumpat, Kelantan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin memberitahu Malaysiakini beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara itu dan enggan mengulas lanjut.
Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, pada mulanya ditahan di Kelantan dan kemudian diserahkan kepada polis Johor selepas menghabiskan dua malam di lokap di Tumpat.
Menurut Khairul, keluarga remaja itu mendakwa dia didera secara fizikal oleh anggota polis Johor yang datang ke Kelantan untuk menjemputnya kembali ke negeri ini bagi menghadapi tuduhan.
"Amirul mengadu dia telah dipukul, dan anggota polis 'menarik' janggutnya.
"Mereka (anggota polis Johor) marah kerana Amirul telah menghina putera mereka," Khairul memberitahu Malaysiakini.
Pemimpin PSM berkata ibu Amirul tertekan apabila bertemu dengan remaja itu dua hari lepas.
"Dia menangis dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan," ujarnya, sambil menambah PSM akan melantik peguam untuk mewakili keluarganya.
Khairul, yang pernah ditangkap bersama beberapa anggota PSM kerana mengkritik Sultan Johor di media sosial berkata kempen sumbangan akan dimulakan untuk membantu keluarga remaja itu.
Amirul didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung catatannya di Facebook.
Beberapa orang ditahan kerana mendakwa membuat kenytaaan menghina putera Johor, walaupun Tunku Ismail meminta polis supaya tidak menahan pengkritiknya sebaliknya berjumpa dengan beliau.
Pelbagai pihak, seperti bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim turut meminta Tengku Mahkota Johor supaya campurtangan dalam kes itu.