Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Rosmah bukan menginap dua bulan di atas awan’
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 7:14 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor terus membidas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli selepas beliau berterusan membuat pendedahan berhubung penggunaan jet peribadi kerajaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, apa yang cuba dilakukan oleh Rafizi adalah percubaan untuk memberi tanggapan bahawa perjalanan Rosmah ke Istanbul, Turki pada 27 Mei menelan perbelanjaan duit rakyat sebanyak RM86juta.

“Saya merasa amat hairan dan aneh apabila Rafizi cuba beri tanggapan kepada masyarakat bahawa isteri perdana menteri menginap selama dua bulan di atas awan dalam sebuah pesawat yang menelan perbelanjaan sebanyak RM86juta.

“Hakikat sebenar isteri perdana menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor hanya berada dalam pesawat selama 26 jam untuk penerbangan pergi-balik Kuala Lumpur ke Istanbul,” katanya di Facebook hari ini.

Rafizi Ramli hari ini berkata anggaran sekitar RM86.4 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyewa pesawat Airbus ACJ319 selama untuk dua bulan.

Ini adalah selepas semalam beliau mendedahkan bahawa Rosmah menaiki pesawat peribadi kerajaan ke Istanbul, Turki untuk menerima Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G bagi pihak PERMATA.

Rizal menjelaskan bahawa pesawat ACJ319 itu disewa selama dua bulan untuk menggantikan pesawat Airbus ACJ320 yang sedang menjalani penyelenggaraan.

Beliau berkata pesawat itu adalah bagi kegunaan orang-orang kenamaan di negara ini termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Rosmah selaku isteri perdana menteri layak untuk menggunakannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS