Dalam pendedahan terbarunya, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendedahkan bahawa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan jet peribadi untuk menghadiri sebuah majlis di Istanbul, Turki.
Pada 27 Mei lalu, Rosmah menerima ‘Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G’ bagi pihak PERMATA dan ini dilaporkan oleh pelbagai media arus perdana.
Tetapi apa yang tidak dilaporkan, kata Rafizi, adalah cara dan aturan perjalanannya ke Istanbul.
“Saya boleh mengesahkan bahawa beliau telah menaiki sebuah jet peribadi - ACJ319 bernombor pendaftar A6-CJE - yang disewa khas dari syarikat penerbangan Emirates,” dakwa Rafizi pada sidang media di Kuala Kangsar hari ini.
Jet itu, katanya, telah disewa khas untuk perjalanan tertentu.
Memandangkan Rosmah menerima anugerah itu bagi pihak PERMATA sebuah projek yang dibiayai dengan duit rakyat, Rafizi berkata adalah adil untuk menyoal siapa yang membayar kos penerbangan itu.
"Beliau perlu menjawab soalan ini kerana beliau menaiki penerbangan itu dan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), juga, perlu menjawab kerana beliau bertanggungjawab," katanya.
Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan juga mempersoalkan mengapa Rosmah tidak menggunakan pesawat komersial untuk perjalanannya ke Istanbul.
"Walaupun beliau mengambil penerbangan kelas pertama, saya yakin ini adalah jauh lebih murah daripada menyewa sebuah jet peribadi," katanya.
Selain menuntut individu yang bertanggungjawab membayar kos penerbangan itu, Rafizi juga ingin tahu siapa yang membuat tempahan berkenaan.
“Selain itu, kenapa Datin Seri Rosmah Mansor sebagai seorang awam diberikan pelepasan menggunakan lapangan terbang di Pangkalan Udara Subang yang sepatutnya khusus untuk kegunaan ketenteraan dan bukan penerbangan awam seperti ini?
“Beliau bukannya pergi berperang,” kata Rafizi secara berseloroh.
Rafizi, sementara itu, mengesahkan bahawa beliau akan membuat pendedahan berterusan setiap hari mengenai perkara itu sehingga Jumaat.
"Perdana Menteri, Rosmah, calon BN Mastura (Mohd Yazid) dan calon PAS (Dr Najihatussalehah Ahmad) boleh berdiam diri mengenai perkara itu.
“Tetapi lebih banyak mereka cuba mengelakkan isu ini, lebih ramai pengundi akan melihat (kekurangan) kejujuran mereka dalam mempertahankan hak-hak rakyat, "katanya.
Pemimpin lantang PKR ini juga melahirkan harapan agar mendapat reaksi daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perkara ini.
"Saya mahukan teguran terbuka dari Hadi terhadap perdana menteri kita kerana gagal membimbing isterinya.
"Ini juga akan menjadi ujian asid - parti mana yang berani tampil untuk mempertahankan hak-hak rakyat," katanya.
Pengundi, oleh itu, katanya dalam berada dalam kedudukan baik untuk menilai parti mana yang paling vokal dan ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat.
"Saya harap pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan yakin bahawa AMANAH dan Pakatan Harapan adalah yang paling ikhlas berjuang untuk mereka."
Ini bukan kali pertama Rosmah dibidas kerana menggunakan jet peribadi untuk lawatan ke luar negara.
Beliau bagaimanapun, mempertahankan penggunaan jet peribadi berkenaan dengan berkata ia adalah untuk urusan rasmi dan bukannya peribadi ataupun untuk percutian.
Malaysiakini telah menghubungi pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor untuk ulasannya.