Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: PM, TPM arah usul Hadi dibawa ke depan

Arahan menyegerakan usul rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibentangkan di Dewan Rakyat datang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau mendapat kebenaran kabinet sebelum mengemukakan usul menyegerakan rang undang-undang dibawa Hadi pada hari terakhir sidang parlimen 26 Mei lalu.

"Dalam tugas saya sebagai menteri menjaga urusan parlimen, saya bertanggungjawab kepada pemimpon majoriti, iaitu perdana menteri dan ketua whip, iaitu timbalan perdana menteri.

"Justeru arahan untuk membawa ke depan (usul rang undang-undang persendirian Hadi) dari nombor 15 ke nombor satu sudah pasti daripada pemimpin majoriti dan ketua whip kerana itulah prosedur yang diperlukan di parlimen," katanya kepada media di Sungai Besar hari ini.

Azalina berkata dia mendapat arahan daripada perdana menteri selepas melaporkan maklumat disampaikan speaker Dewan Rakyat bahawa Datuk Seri Jamil Khir Baharom (menteri yang mengelola hal ehwal Islam) tidak membantah usul Hadi dibahaskan.

"Saya hanya membaca Peraturan Mesyuarat 14 untuk membenarkan (ia dipindahkan) dari nombor 15 ke nombor satu," kata Azalina yang mendakwa tindakan itu bukan menyegerakan usul Hadi seperti digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya hanya membawa ia ke depan.

"Speaker memberitahu kami ada permintaan dibuat, apabila Jamil Khir memaklumkan tiada bantahan. Jadi tentulah menjadi tugas saya secara automatik (untuk melakukannya). Tidak timbul isu menyegerakan rang undang-undang itu," katanya.

Bagaimanapun Azalina kelihatan enggan melibatkan diri dalam kandungan rang undang-undang dibawa Hadi serta keputusan kerajaan membenarkan ia dibentangkan.

"Tugas saya tiada kaitan dengan kandungan usul itu. Saya menyelia peraturan, jadi saya hanya menguruskan prosedur kerana usul itu berada di nombor 15 dan perlu dibawa ke nombor satu di antara usul lain kerajaan.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 14 seorang anggota kabinet atau menteri mesti mendapatkan kebenaran speaker. Saya hanya bertanggungjawab dalam isu teknikal, bukan kandungan usul itu," katanya.

Menurut Azalina orang yang bertanggungjawab kepada kandungan usul itu serta keputusan membenarkan ia dibahaskan ialah Jamil Khir.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS