Kelantan mahu melaksanakan undang-undang syariah lebih tegas kerana penganut Islam di negeri itu tidak takut dengan hukuman sedia ada, kata Datuk Seri Nazri Aziz.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata muslim di negeri lain - seperti di Selangor - lebih taat mengikut ajaran Islam dan ia tidak memerlukan pindaan enakmen syariah.
"Kelantan (digelar) Serambi Mekah (tetapi) berlaku banyak (maksiat), sebab itu (PAS) nak buat (undang-undang syariah).
"Orang Kelantan kena denda RM5,000 mereka tak takut, tetap nak buat (kesalahan) juga. Kenakan (penjara) lima tahun pun tak takut, sebat enam kali lagi tak takut," katanya kepada media di Sungai Besar hari ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibenarkan membawa usul pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu selepas dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut PAS usul berkenaan - yang dibawa melalui rang undang-undang persendirian - adalah untuk memperkasa mahkamah syariah terutama di Kelantan.
Bagaimanapun Abdul Hadi memohon rang undang-undang itu dibentangkan dan dibahas pada sesi parlimen akan datang.
Kata Nazri PAS perlu dibiarkan melaksanakan undang-undang syariah lebih ketat di Kelantan yang ditadbir mereka.
"Dia (PAS) nak buat di negeri dia, lantak dialah," katanya.