Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana mungkin cinta PAS-PKR bertahan, kata wakil pemuda

Selepas Dewan Muslimat, kini perwakilan Dewan Pemuda PAS pula meminta parti Islam itu menilai kembali kerjasama politik bersama PKR.

Menurut wakil Dewan Pemuda Ahmad Fadli Shaari, PKR kini dilihat tidak mempunyai pendirian jelas untuk melakukan kerjasama politik bersama parti pembangkang.

"Kita faham ramai rakan dalam PKR masih sayangkan kita namun, mana mungkin cinta ini dapat bertahan sekiranya PKR dan DAP duduk bersama.

"Bahkan menjalinkan hubungan mesra dengan parti satu lagi (AMANAH). PKR kena jelas dengan siapa mereka mahu bersama, dengan PAS atau dengan DAP," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan.

Selain itu, Ahmad Fadli turut mempersoalkan masalah dalaman yang berlaku dalam sesetengah parti politik yang dilihat tidak mempunyai pendirian.

Walaupun semua parti politik di negara ini mempunyai masalah dalaman namun, berbeza dengan PAS, parti Islam itu masih berdiri teguh, katanya.

"Dalam sesetengah parti lain, ada kiblat bercampur aduk. Ada parti, terajunya di Pekan, sebahagian kiblatnya masih di Pagoh. Ada parti kiblatnya di Sungai Buloh, tetapi anggotanya menjalin hubungan dengan penaja Deklarasi Rakyat.

"Ada parti terajunya di Komtar (Pulau Pinang), namun bergolak di sesetengah negeri.

"Alhamdulillah, PAS insha Allah menjadi parti sebulat logonya," katanya tanpa memberi penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

Semalam, Dewan Muslimat PAS Kedah membawakan usul yang sama dan diterima tanpa bahas oleh perwakilan.

Usul itu menyatakan PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS apabila mengadakan kerjasama dengan AMANAH, yang didakwa memfitnah parti itu dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.

Susulan itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan parti itu akan meneliti usul memutuskan hubungan dengan PKR.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS