Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pahlawan Melayu' di muktamar Pemuda PAS
Diterbitkan:  May 31, 2016 4:16 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Muktamar Pemuda PAS di Kelantan hari ini menyaksikan kelainan apabila pemimpin kanannya tampil dengan pakaian seperti pahlawan Melayu.

Penampilan ketuanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang sebelum ini selalu tampil berkopiah hari ini nyata berbeza.

Angota parlimen Pasir Mas itu bahkan bertanjak dan menyelit keris di pinggang.

Malah, sebaik tiba di lokasi muktamar di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu, pemimpin parti Islam itu disambut dengan paluan rebana ubi iaitu muzik tradisional Kelantan.

Selain itu, alunan muzik wayang kulit turut mengiringi acara yang berlangsung di dalam dewan muktamar di samping persembahan bacaan al-Quran dan deklamasi sajak.

Malah, gimik pelancaran muktamar itu juga dilakukan dengan paluan empat buah gong‎.

‎Keadaan ini berbeza dengan sebelumnya apabila pemimpin PAS lebih selesa dengan imej biasa mereka berkopiah putih, berserban dan berjubah.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi turut berpakaian sedemikian.

Ini muktamar pertama PAS selepas meninggalkan gabungan dengan PKR dan DAP dan membentuk blok baru dengan parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Muktamar kali ini juga berlangsung menjelang dua pilihan raya kecil bulan depan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang ditandingi mereka.

Kedua-dua kawasan itu mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Tuan Ibrahim berkata, tema pakaian tersebut satu perubahan kelainan yang dibuat‎ oleh Pemuda PAS.

"Lama tak nampak pakaian macam ini, saya kahwin dulu pun tak pakai macam ini,” katanya berseloroh.

"Ini mencerminkan budaya kita baik, indah dan mungkin lepas ini pakaian bangsa lain.”

Ditanya pakaian tersebut memgambarkan perjuangan bangsa, beliau menafikan perkara itu.

"PAS tak perjuangkan bangsa tetapi memperjuangkan agama.

"Kita tak cabut keris, cium keris dan tunjukkan keris kepada sesiapa. Kita lengkapkan pakaian ini," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS