Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Soalan RM42 juta dalam akaun Najib subjudis - menteri
Diterbitkan:  May 26, 2016 11:21 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Kerajaan sekali lagi menggunakan alasan subjudis dalam keengganannya menjawab sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahu mengenai deposit dalam akaun
bank peribadinya.

Ini berikutan kerajaan menolak soalan diberikan ahli parlimen pembangkang yang bertanya mengenai status RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang masuk ke akaun Najib.

"Untuk makluman ahli yang berhormat, pertanyaan ini tidak dapat dijawab pada masa ini kerana perkara ini dalam timbangan mahkamah (subjudis) selaras dengan nota Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh Khamis, 31 Mac 2016," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata demikian kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam jawapan bertulis di parlimen semalam.

Ko bertanya sama ada Najib mempunyai pengetahuan tentang wang dalam akaun bank peribadinya dan sama ada perlu memberitahu Bank Negara untuk memastikan tiada unsur-unsur pengubahan wang haram, penyelewengan dan rasuah.

"Minta Perdana Menteri menyatakan sama ada beliau mempunyai dokumen sokongan untuk menunjukkan semua pergerakan wang tersebut adalah sah," soal Ko.

Mahfuz pula bertanya apakah status RM42 juta wang berkenaan dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri tanpa disedari oleh perdana menteri dan tanpa diketahui SRC International.

"Adakah wang tersebut telah dikembalikan kepada SRC atau telah dibelanjakan oleh perdana menteri," soalnya.

Pada Mac lalu, Azalina berkata soalan berkenaan derma politik RM2.6 bilion tidak perlu lagi dibangkitkan di parlimen. Beliau berkata ini kerana perbincangan tersebut subjudis kerana permohonan Badan Peguam Malaysia untuk semakan kehakiman terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Subjudis adalah istilah Latin yang bermaksud sesuatu kes atau perkara itu sedang dibicarakan atau sedang dipertimbangkan oleh hakim atau mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS