Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan nasibnya kini terpulang kepada peguam negara.
“Sekiranya Tan Sri Mohamed Apandi Ali (gambar) berpuas hati terhadap keterangan kertas siasatan yang dikemukakan, maka tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil.
“Sebaliknya, sekiranya siasatan SPRM didapati tidak mempunyai keterangan yang mencukupi, maka tiada tindakan undang-undang diambil,” kata SPRM.
Perkara tersebut, menurut SPRM, adalah selaras dengan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa mendakwa di tangan peguam negara.
Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata kertas siasatan telah pun dikemukakan kepada Apandi.
Lim sebelum ini disiasat susulan pembelian harta tanah bawah harga pasaran di negeri itu.