Seorang bekas pengarah Koperasi Al-Hilal (Kohilal) berkata, kegagalan pelaburan koperasi itu yang dianggotai oleh ahli PAS pada tahun 1990-an sehingga kerugian RM45 juta, bukanlah kerana kelemahan pihak pengurusannya, tetapi kerana 'tidak bernasib baik".

Dr Rayney Azmi Ali berkata, usahaniaga tersebut gagal kerana faktor-faktor luaran dan bukannya kerana kelemahan pengurusannya seperti dakwaan sesetengah pihak.

Ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur minggu lalu, beliau berkata, dokumen dan minit mesyuarat koperasi itu boleh membuktikan bahawa semuanya dilakukan mengikut aturan.

Katanya, ketika beliau menjadi pengarah Kohilal pada tahun 1995 hingga 2001, koperasi itu berjalan dengan baik apabila Projek Star perniagaan emas di India membolehkan ahli-ahlinya mendapat dividen sehingga 20 peratus setahun.

"Pada tahun 1996 atau 1997, kami ditawarkan untuk berniaga emas di India. Jadi, kami membeli emas dari Singapura dan menjualnya di India. Semuanya berjalan lancar. Semua orang gembira kerana mendapat wang (pulangan). Jadi, apabila kami membuat untung besar, keahliannya bertambah kerana ramai yang mahu melabur," tambahnya.

Pelaburan baru

Ketika itulah, katanya, pihak pengurusan Kohilal yang dipengerusikan oleh Senator Hassan Shukri (kini Timbalan Presiden PAS), bercadang mengembangkan lagi pelaburannya, kerana merasakan tidak selamat untuk melabur dalam satu perniagaan sahaja, iaitu urusniaga emas di India.

Berikutan itu, katanya, pihak pengurusan memutuskan untuk menceburi urusniaga lain dan bendahari Kohilal ketika itu, Ali Maidin, telah diminta mengemukakan cadangan mengenainya.

Katanya, selepas meneliti beberapa cadangan itu, pihak lembaga pengarah memutuskan, selain meneruskan urusniaga emas di India, Kohilal juga akan melabur RM45 juta wang ahli untuk membuka ladang burung unta di Australia, melabur dalam sektor pertanian di Indonesia dan dalam syarikat jual-beli saham, Perdana Technologi Venture (PTV).

"Perniagaan ladang burung unta itu gagal kerana masalah banjir yang teruk yang membunuh kesemua burung terbabit. Ianya sesuatu di luar kawalan kami. Untuk memburukkan keadaan, insuran tidak dibayar kerana ia melindungi kerosakan akibat bencana semula jadi," jelasnya.

Rayney berkata, pelaburan dalam PTV yang menjanjikan keuntungan empat kali ganda juga gagal kerana berlakunya kemelesetan ekonomi pada tahun 1990-an.

"Pada masa itu, PTV memberitahu kita bahawa sebuah syarikat IT di Kanada akan disenaraikan di papan utama. Kami diberitahu supaya membeli saham pada harga RM1 seunit dan mereka menjangka harga itu akan naik hingga RM4 selepas disenaraikan. Tetapi ketika itu berlaku kemelesetan ekonomi dan timbul masalah untuk menyenaraikan syarikat tersebut. Tetapi, apabila syarikat disenaraikan kemudiannya, harga sahamnya jatuh serendah 18 sen!".

Katanya, mereka cuba menyelamatkan sebahagian daripada hasil perniagaan emas tetapi gagal apabila kerajaan India menukar undang-undang perniagaan yang meningkatkan lagi persaingan di kalangan peniaga emas.

"Kami fikir kami dapat bergantung kepada projek kami di Indonesia, tetapi kemudiannnya baru kami sedar bahawa kami telah ditipu. Apa yang kami fikirkan dokumen tulen (berhubung peniagaan itu) yang ditandatangani oleh wakil kami naib pengerusi ketika itu, Sheikh Bakar adalah palsu. Kami ditipu oleh rakyat tempatan di sana."

Lembaga pengarah berhati-hati

Rayney menafikatn dakwaan bahawa pihak lembaga pengarah gagal untuk membuat kajian teliti sebelum melabur dalan projek-projek perniagaan tersebut, tetapi menegaskan bahawa setiap projek dikaji secara terperinci oleh lembaga pengarah.

"Kami melihat pada angkanya, pelaburan, berapa tahun kami perlu menunggu mendapat hasilnya...semuanya direkodkan, minit mesyuarat, itu semua ada. Semuanya atas kertas. Pihak lembaga pengarah mengkaji semuanya itu."

Menurutnya, adalah mudah untuk ahli-ahli membuat kritikan, tetapi katanya pihak lembaga pengarah telah membuat segala-galanya yang termampu untuk melindungi kepentingan koperasi itu dan ahli-ahlinya.

"Kami berbincang dengan teliti strategi-strategi pelaburan. Ali Maidin betul apabila dia kata adalah tidak selamat untuk menggunakan keseluruhan tabung untuk melabur dalam satu urusniaga emas semata-mata.

"Katanya, mesti ada projek-projek sokongan kerana jika ia gagal, kami boleh bergantung kepada yang lain. Tetapi apabila semuanya tidak berlaku sepertimana yang dirancangkan, disebabkan faktor-faktor luaran, adakah itu salah lembaga pengarah? Saya rasa tidak! Ianya di luar kawalan kami".

Mengenai siasatan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Kohilal, Rayney berkata ahli lembaga pengarah ketika itu, sudahpun memberi kenyataan mereka kepada pihak berkuasa.

"JPK dan SC menjalankan siasatan kerana ahli-ahli membuat aduan selepas mereka tidak mendapat semula wang mereka. Ahli-ahli bertanya sama ada kami tidak menguruskannya dengan betul.

"Saya rasa mereka (pihak berkuasa) melihat dari aspek teknikal. Jika SC dan JPK menyiasat kemungkinan berlaku sesuatu yang tidak kena, Insya-Allah, saya rasa tidak apa yang harus kami risaukan.

"Saya telah dipanggil oleh SC dan JPK dan saya memberitahu mereka, jika mereka hendak mencari kesalahan menipu, penyalahgunaan kuasa, rasuah, itu semuanya tidak berlaku," katanya.

Rayney juga menyangkal dakwaan bahawa pihak lembaga pengarah tidak memperdulikan aduan dan nasib ahli-ahlinya, dengan berkata para pengarah telah pergi dari negeri ke negeri untuk menjelaskan tentang kerugian tersebut.

"Tetapi mereka enggan menerima hakikat bahawa kami mengalami kerugian. Mereka hanya mahu balik wang mereka walaupun kita memberitahu, pelaburan itu adalah al-mudharabah kita berkongsi bersama keuntungan dan juga kerugian," tambahnya.

Mengenai perletakan beramai-ramai pengaruh Kohilal pada 2002, beliau berkata, ianya bukan kerana mereka hendak lari daripada tanggangjawab seperti didakwa.

"Kami mahu memperbaiki keadaan melalui projek-projek lain, tetapi ahli-ahli telah mempersoalkan kami, kemampuan kami, jadi kami merasakan, jika mereka tidak yakin dengan kami, maka lebih baik meletakkan jawatan. Jika ada orang yang boleh buat lebih baik, maka biarlah mereka membuatnya."

Jangan babitkan parti

Rayney berkata, beliau juga menyedari ada sesetengah pemimpin PAS, termasuk Hassan, yang terpaksa berdepan dengan kecaman berhubung masalah yang dihadapi oleh Kohilal itu.

"Saya sedar ahli-ahli sedang mendesak pemimpin PAS itu supaya meletakkan jawatan dan mencari penyelesaiannya, tetapi saya rasa itu pendekatan yang salah.

"Kami percaya tidak ada apa yang pihak parti dapat lakukan...lagi pula mengikut undang-undang, ianya adalah dua entiti yang berbeza. Satu parti politik di bawah pendaftar pertubuhan, manakala yang satu lagi koperasi di bawah JPK. Pihak parti tidak patut campurtangan dalam Kohilal."

Ditanya mengapa isu itu menjadi begitu sensitif, beliau menjawab: "Ianya adalah mengenai wang. Mereka mahu wang mereka balik, itulah perkaranya. Tiada benda lain yang lebih penting bagi mereka."

Isu-isu berkaitan koperasi itu telah dibangkitkan berulangkali dalam mesyuarat parti di peringkat negeri dan pusat, termasuk dalam konvensyen khas PAS baru-baru ini. Ia dijangka ditimbulkan lagi menjelang muktamar parti itu Jun ini di mana pemilihan pucuk parti akan diadakan.

Pemimpin PAS Negeri Sembilan dan Selangor telah mengambil langkah-langkah tegas supaya pemimpin tertinggi parti itu, memberi perhatian dalam usaha menyelesaikan isu tersebut.