Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendedahkan kandungan pertemuan antara pemimpin Umno dengan presidennya, Datuk Seri Najib Abdul Razak sejurus selepas terbongkar kisah perdana menteri itu telah menerima RM2.6 billion ke dalam akaun perbadinya.
Dalam sesi dialog bersama penuntut Malaysia di Canberra, Australia, Puad berkata, pemimpin Umno meminta untuk bertemu dengan Najib sebaik sahaja the Wall Street Journal menerbitkan berita kemasukan dana itu.
Dengan tidak memberikan butiran tarikh pertemuan tersebut, namun menjelaskan ia berlaku semasa bulan Ramadan antara 15 Jun hingga 15 Julai tahun lalu. Wall Street Journal menerbitkan berita itu pada 2 Julai.
Dalam pertemuan tersebut, Puad berkata, Najib mengakui menerima dana tersebut dan mendakwa telah berbincang dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akthar Aziz dan menerima kelulusan bank pusat itu untuk membawa masuk wang itu.
"Bila sampai ke rumah beliau, kami bertanya kepada Datuk Seri Najib betulkah you dapat 2.6 billion. Dia kata betul.
Beliau tidak menafikan dan mengatakan mempunyai dokumen kelulusan dari Bank Negara untuk memindahkan dana itu ke akaun bank peribadinya.
"Cuma masalahnya, dia kata mungkin, dia sebut mungkin ada pegawai di bank negara ataupun ambank yang membocorkan maklumat tersebut kepada Sarawak Report dan diberikan kepada Wall Street Journal.
"Sebab masuk ke akaun peribadi dia dalam negara kena ada kebenaran bank negara dan dia sudah berbincang dengan gabenor bank negara, kena isi dokumen," kata Puad dalam dialog anjuran Kelab Umno Australia.
Ujar Puad, Najib turut menegaskan kepada pemimpin Umno bahawa deposit itu bukan untuk kegunaan peribadinya.
"Sebab itu dia kata kalau duit itu untuk tujuan peribadi dia, lebih baik dia kata masuk ke dalam akaun peribadi dia di luar negara," jelas Puad pada majlis di Australian National University, Warrumbul Unilodge.
Justeru, Puad berkata, laporan Najib menerima duit itu betul tetapi dakwaan duit itu adalah berpunca dari 1MDB tidak betul.
Dalam pertemuan itu, Najib memberitahu mereka duit itu dari raja Saudi.
" Malam itu kita sudah tahu sebenarnya. So, itu adalah sumbangan raja Saudi dan dia tidah masuk duit itu dimasuk ke akaun rasmi sebab tujuan dia, antaranya untuk melawan IS, dan kedua, untuk membantu di tempat-tempat lain, seperti di Palestin dan sebagainya.
"Itu yang diberitahukan. Sebab itu kami diam," jelas beliau.