ULASAN Akhirnya Mahathir Mohamad mengumumkan 1.2 juta tandatangan Deklarasi Rakyat sudah dikumpul untuk dihadapkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pelucutan jawatan perdana menteri.
Tidakkah Mahathir sedar bahawa walau 10 juta tandatangan dikumpul sekali pun, agong tetap tidak mempunyai kuasa melucutkan jawatan Najib kerana tiada dalam perlembagaan.
Agong hanya mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri yang pada pendapat baginda sudah mempunyai sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat, tetapi tiada kuasa memecatnya.
Tetapi hanya kerana terdesak untuk sekali lagi menaikkan boneka pilihan, Mahathir sanggup menggunakan deklarasi bagi menekan agong melakukan sesuatu luar bidang kuasa, seterusnya melanggar perlembagaan.
Masih kita tidak lupa pada pertengahan Mac lalu ketika Mahathir ditemuramah wartawan Indonesia.
Dia ditanya soal hukuman penjara ke atas Anwar Ibrahim.
Mahathir sebut dengan jelas, kes Anwar telah ditentukan oleh mahkamah dan kita tidak boleh berbuat apa-apa, kita tidak boleh mencabuli kedaulatan undang-undang.
Jika ini sifirnya, hanya demi melampiaskan nafsu dendam Mahathir, maka pencabulan perlembagaan dibenarkan tetapi dalam soal keadilan seorang banduan politik, Mahathir kata kita perlu ikut kedaulatan undang-undang.
Apakah perlembagaan negara ditentukan Mahathir, kedaulatan undang-undang mengikut keperluan dia?
Justeru, ke mana Deklarasi Rakyat? Rupanya Mahathir telah membawa harapan palsu kepada rakyat Malaysia dalam usaha menyingkirkan Najib Razak.
Malah agenda Mahathir untuk menyelamatkan Umno terserlah apabila tulisan di blognya memberi amaran BN akan tumbang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) jika Najib masih menjadi PM.
Apakah kita sebenarnya masih mahu menjadi sebahagian daripada permainan dan percaturan Mahathir? Tanya dalam diri, ubah sistem atau ubah sosok perdana menteri?
Bagi SAMM, kami memilih perubahan sistem. Ia tidak akan berlaku dengan hanya menyingkirkan Najib yang menjadi simptom, melainkan Umno-BN yang menjadi barah negara dibuang sekali.
Demi merealisasikan perubahan sistem, SAMM tegaskan rakyat seluruh negara perlu mengorak langkah ke arah membentuk sebuah kerajaan sementara.
Sebagai alternatif, idea rangka dasar “negara pembaharuan” yang memperuntukkan18 bulan kerajaan 'peralihan', bagi mereformasikan enam jalur utama agensi penguatkuasa, telah SAMM serah kepada wakil perdana menteri dan wakil ketua pembangkang pada 7 April lalu.
EDY NOOR REDUAN pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).