Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri jawab kesediaan Muhkriz 'bertumbuk' dengannya

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi berkata beliau tiada masalah 'bertumbuk' dengan pengkritik perdana menteri, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu, kesediaan itu bermaksud beliau bersedia untuk berdepan dengan mereka.

"OK, tak ada masalah (bertumbuk). Bila-bila masa sahaja. Tapi saya tak faham, bila Mahathir cakap (orang Umno) makan dedak, kita faham takkanlah semua ahli Umno makan dedak. Tapi semua faham apa maksud (cakap) Mahathir.

“Tapi bila saya kata tak ada masalah nak bertumbuk, kenapa mesti ambil serius.

"Bila kita kata saya tak ada masalah nak bertumbuk, maksud saya kita lawanlah. Tapi intelek Melayu ini rendah, inilah masalah dia, yang cerdik seperti saya ini cukup kurang," kata Nazri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan rasmi ke Pasar Seni di ibu negara hari ini.

Beliau ditanya kesediaan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, yang juga bekas menteri besar Kedah, untuk bertumbuk dengan Nazri bagi mempertahankan ayahnya.

Mukhriz berkata demikian dalam ceramah Deklarasi Rakyat di Nilai, Negeri Sembilan semalam.

“Saya sebagai anak jantan Tun Mahathir akan berdepan dengan dia (Nazri). Kalau nak bertumbuk, jumpa kita dulu, bukan senang-senang,” katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas kenyataan menteri pelancongan dan kebudayaan yang sedia bertumbuk dengan bekas perdana menteri itu.

“Agaknya dah hilang akal dah hilang pertimbangan, orang tak waras dikatakan, tapi berpangkat menteri. Beginilah menteri-menteri kita sekarang,” katanya.

Nazri dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu baru-baru ini ketika mengulas keputusan kerajaan menarik semula perkhidmatan polis pengiring untuk Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS