Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno tidak sekotor dakwaan di Internet'
Diterbitkan:  May 11, 2016 1:29 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno tidak 'sekotor' dakwaan sesetengah pengguna Internet atau wartawan atas talian

Katanya 'wartawan Internet' juga tidak mempunyai asas untuk menuduh atau membuat pandangan dengan sewenang-wenangnya mengenai parti berkenaan sehingga membawa tanggapan negatif umum.

“Umno tidak sekotor sebagaimana persepsi tulisan wartawan yang (menulis secara) tidak beretika di luar media konvensional seperti dalam Facebook, WhatsApp, YouTube serta Telegram," katanya dalam temu bual bersama BH sempena sambutan ulang tahun ke-70 Umno.

Temu bual itu disiarkan hari ini.

Kata anggota parlimen Bagan Datoh itu, pengguna Internet dan sesetengah wartawan atas talian cuma mengeluarkan pendapat masing-masing dan ia kemudian mewujudkan pengikut.

Selepas itu persepsi berkenaan disebarkan kerana menurut Ahmad Zahid, "memang mudah" untuk seseorang menyatakan pendapat tanpa berasaskan penulisan beretika dalam bidang kewartawanan.

Kata naib presiden Umno itu lagi, 87 peratus daripada maklumat "kumpulan wartawan Internet" itu membuat tulisan begitu hanya untuk mempengaruhi masyarakat dan menimbulkan persepsi.

“Apabila pemikiran sudah dipengaruhi, ia menimbulkan persepsi. Apabila persepsi tidak diuruskan, ia akan menyebabkan pembuat keputusan membuat keputusan berdasarkan pengaruh,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, soal kredibiliti sesuatu maklumat daripada media sosial termasuk portal berita kini sudah mula dipertikaikan.

“Kita tahu berita mereka berdasarkan agenda media dan kita tahu agenda mereka tidak difahami ramai orang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS