Ketika Pakatan Harapan baru saja menyatakan hasrat untuk berbincang sesama sendiri, PAS telah pun memutuskan akan bertanding dalam dua pilihan raya kecil (PRK) akan datang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) mengumumkan parti Islam itu akan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar di Temerloh semalam, lapor Harakahdaily.
Beliau malah menegaskan dalam pilihan raya umum lalu calon mereka hanya kalah tipis 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar pula majoriti calon BN hanya kira-kira 1,000 undi.
“Ini bermakna keputusan PRK nanti tidak seperti PRN Sarawak," Mustafa dilapor sebagai berkata dalam majlis perasmian jentera pilihan raya PAS Pahang di Termeloh semalam.
Anggota parlimen Sungai Besar yang juga timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan anggota parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pagi ini berkata HARAPAN akan membincangkan sama ada mana-mana parti sekutunya akan bertanding pada dua pilihan raya kecil itu.
Dalam pilihan raya Sarawak kelmarin, PAS telah pun bertembung dengan parti gabungan HARAPAN dan masih gagal mendapat sebarang kerusi.
Azmin, sebelum ini turut mempelawa PAS kembali dalam satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan kekalahan teruk pembangkang semasa pilihan raya Sarawak.
PAS berpotensi berdepan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar – kawasan campuran dengan majoriti Melayu.
Kedua-dua kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS.