Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS akan terus bergolak susulan pemecatan Husam

Perkembangan terbaru dalam PAS yang menyaksikannya memecat bekas naib presidennya, Datuk Husam Musa akan menambah pergolakan dalam parti itu, kata bekas rakan seperjuangannya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusoff Rawa yang adalah bekas ahli jawatankuasa PAS pusat berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan 'kekuatan' Husam dalam parti, terutama di Kelantan.

"Husam bersuara dengan lantang dalam parti dan ini menyebabkan kelukaan yang mendalam buat PAS," ujar Mujahid, yang kini menduduki kerusi Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

"PAS pastinya telah menimbang kesan dan manfaat mempunyai ahli penting seperti Husam sebelum memutuskan untuk memecat beliau.

"Bagaimanapun, pemecatan beliau hanya akan menyebabkan pergolakan seterusnya bukan sahaja PAS di Kelantan tetapi juga parti itu secara keseluruhan.

"Pastinya menarik untuk melihat perkembangan seterusnya di masa depan,” tambahnya.

Husam, dalam reaksi segeranya berhubung pemecatan itu berkata, beliau ternyata tidak dapat menahan rasa pilu dan sebak selepas dipecat sebagai ahli parti Islam itu.

Ketika hatinya sedang pilu dengan peristiwa kehilangan helikopter di Sarawak, beliau tiba-tiba tidak putus menerima panggilan telefon, kata Husam.

"Menerusi whatssap dan sms, saya dikhabarkan oleh sumber-sumber tidak rasmi, saya telah dipecat dari PAS pada hari ini.

"Tanpa saya sedari, air mata saya menitis. Sebak bercampur pilu," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Pengumuman pemecatan Husam dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok, hari ini.

Menurut Sanusi, jawatankuasa tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April lalu mendapati Husam melakukan tindakan bersalahan dengan perlembagaan parti.

Mengulas lanjut, ujar Mujahid, Husam merupakan individu yang sangat penting kerana hubungan beliau yang cukup erat dengan ahli-ahli akar umbi selain perjuangan beliau sejak menyertai PAS pada tahun 1982.

Di samping itu, Husam mempunyai hubungan dengan bekas Menteri Besar Kelantan, arwah Nik Aziz Nik Mat, jelasnya.

Husam, yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Salor, pernah menjadi pembantu politik Nik Aziz dan sangat lantang dalam isu-isu alam sekitar terhadap pengurusan PAS Kelantan.

Ditanya jika AMANAH akan mempelawa Husam menyertainya, Mujahid berkata "parti kami terbuka untuk semua".

"Bagaimanapun, kami tidak menerima sesiapa yang berdendam menentang yang lain. Kami akan menerima mereka yang percaya dan boleh menerima perjuangan parti, prinsip, dan apa yang kami percaya dan perjuangkan," kata Mujahid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS