Seorang tahanan reman lelaki, ditemukan mati dalam keadaan tergantung di dalam lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Sungai Siput tengah hari semalam,
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata lelaki berkenaan yang berumur 39 tahun ditemukan kira-kira 12.10 tengah hari, semasa anggota polis membuat rondaan rutin di lokap berkenaan.
"Tahanan ditemukan tergantung dengan menggunakan baju T yang dibekalkan kepadanya dan inkuiri telah dibuat oleh koroner dari Mahkamah Majistret Sungai Siput.
"Berdasarkan bedah siasat, kematian tahanan berkenaan disebabkan 'neck compression due to hanging' dan tiada kecederaan lain ditemui," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Hasnan semasa kejadian, mangsa yang ditahan pada 2 Mei lalu kerana kesalahan dadah, berada berseorangan di dalam lokap.
Tambahnya si mati direman mulai Selasa sehingga 16 Mei ini dan turut mempunyai empat rekod kesalahan lampau melibatkan dadah.
- Bernama