1MDB minggu lalu diisytiharkan ingkar selepas gagal membayar faedah AS$50.3 juta tetapi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menegaskan bahawa pendedahannya terhadap firma pelaburan negara itu adalah "sangat terhad".
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada satu sidang akhbar hari ini ditanya sama ada KWSP bimbang dengan pelaburannya dalam 1MDB memandangkan kegagalan firma itu membayar hutangnya.
Shahril bagaimanapun mengulangi bahawa KWSP hanya mempunyai saham sebanyak RM200 juta daripada RM5 bilion bon yang diterbitkan oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) - yang menyumbang empat peratus daripada jumlah terbitan keseluruhan.
"Pendedahan itu sepenuhnya dijamin kerajaan, pada dasarnya kita tidak mempunyai masalah dengan itu.
"Ia tidak pernah menjadi isu dari segi bayaran oleh 1MDB," kata Shahril, selepas pengumuman laporan tahunan KWSP 2015 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa KWSP mengikuti perkembangan semasa dengan penuh minat.
"Memang membimbangkan bahawa seolah-olah menjadi beberapa pertikaian di 1MDB berhubung dengan pendedahan mereka yang lain.
"Tetapi sejauh pendedahan kami, kita agak baik. Dalam apa jua keadaan jika berlaku sebarang masalah besar dengan 1MDB, kerajaan akan campur tangan untuk menampung hutang kepada semua pemegang bon."
Shahril juga mengesahkan bahawa KWSP masih belum diberi sebarang notis oleh lembaga pemegang amanah mengenai bon RM5 bilion itu.
"Sama ada atau tidak mereka akan memanggil mesyuarat pemegang bon mengenai isu ini, kita hanya akan tunggu dan lihat jika lembaga pemegang amanah memikirkan terdapat kemungkiran silang, dan sama ada mereka perlu membawa perkara itu kepada pemegang bon," katanya.
Oleh itu, jawatankuasa pelaburan KWSP, masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu itu kerana lembaga pemegang amanah masih belum memanggil mesyuarat pemegang bon.
"Kami akan menunggu mesyuarat pemegang bon dan kemudian baru membuat keputusan," kata Shahril.
Pilihan untuk dipertimbangkan, katanya akan bergantung kepada cadangan yang dikemukakan oleh lembaga pemegang amanah kepada pemegang bon.
1MDB diisytiharkan ingkar selepas ia gagal membayar faedah AS$50.3 juta kepada pemegang bon terbitannya yang dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC) milik Abu Dhabi.
Mengesahkan perkara itu, 1MDB bagaimanapun mempersalahkan IPIC kerana keengganannya untuk menunaikan kewajipan untuk membayar faedah dan bon AS$1.75 bilion dengan nota kadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited.