Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak bersependapat dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang percaya bahawa dirinya seorang yang baik, kecuali bersama parti yang salah.
"Terima kasih kerana percaya bahawa saya seorang yang baik, (tetapi) saya rasa saya berada dalam parti yang betul.
"Sebab itu kami tubuhkan parti ini," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Adenan pada satu sidang akhbar malam semalam, mencadangkan Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar yang juga adalah naib presiden PKR supaya menulis kepadanya jika mahu ke Sarawak.
Mengulas tawaran itu, Wan Azizah berkata kebenaran bagi bagi membolehkan mereka ke Sarawak akan membuktikan bahawa ketua menteri mendukung amalan demokrasi yang sihat.
Bagaimanapun, kata Wan Azizah, beliau dan Nurul akan menulis kepada Adenan untuk meminta kebenaran seperti yang dicadangkan oleh ketua menteri itu.
"Ya, dia (Adenan) suruh tulis, tulis la,” katanya.
Ketua pembangkang itu bagaimanapun tidak pasti berhubung status semasa beliau sama ada dibenarkan memasuki Sarawak.
Anak perempuannya, bagaimanapun, dihalang daripada memasuki negeri Malaysia timur itu bersama-sama dengan puluhan pemimpin politik pembangkang dan aktivis.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berjaya ke Sarawak tetapi beliau hanya diberi kebenaran untuk berada di sana sehingga 2 Mei.
Kerajaan negeri juga membenarkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang yang juga adalah pemimpin supremo parti itu ke Sarawak.
Ketua menteri, bagaimanapun, memberi amaran bahawa jika mereka tidak menjaga kelakuian, kedua-dua mereka akan juga diusir.
Sarawak akan mengadakan pilihan raya negeri ke-11 pada 7 Mei ini.