Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan arah IGP tangkap mualaf larikan anak
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 11:00 AM
Dikemaskini: 8:05 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan ketua polis negara untuk menangkap K Pathmanathan @ Mohd Ridhuan Abdullah berhubung kes rebutan hak penjagaan anak yang ditukar agama.

Ini kerana mualaf itu gagal membawa anaknya, Prasana Diksa, kepada bidang kuasa mahkamah.

Berikutan itu, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif mengarahkan ketua polis negara untuk mematuhi perintah mandamus yang memaksa polis menangkap Ridhuan.

Mahkamah tertinggi itu juga mengarahkan Mahkamah Tinggi di Ipoh untuk memantau penangkapan itu.

Anak perempuan M Indira Gandhi hanya berusia 11 bulan apabila bekas suaminya, yang memeluk Islam, melarikan kanak-kanak itu. Guru tadika itu gagal berjumpa dengan anaknya itu sejak lapan tahun lalu.

Lapan bulan juga sejak beliau ke mahkamah untuk menuntut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk memulangkan anaknya kerana terlibat dalam perebutan hak penjagaan ke atas tiga anak mereka.

Hakim Md Raus yang menulis penghakiman sebulat suara itu juga nyata berang dengan Ridhuan yang ingkar dan enggan membawa anak berkenaan ke mahkamah.

"Ini kelakuan yang tidak diterima oleh mahkamah kerana ia menjadikan undang-undang dipandang lekeh.

"Apabila kes tidak memihak kepadanya, dia tidak mahu mematuhi bidang kuasa mahkamah. Kami berpendapat bahawa dia mesti ditangkap dan perintah komital (menghina mahkamah) perlu dilaksanakan.

"Kami arahkan supaya pelaksanaan waran komital, membenarkan rayuan itu dan mengketepikan keputusan majoriti mahkamah rayuan.

"Kami kekalkan semula keputusan minoriti mahkamah rayuan dan Mahkamah Tinggi Ipoh dan kami hantar balik kes ini kepada Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memantau waran tangkapn," kata Hakim Md Raus.

Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang sama adalah Hakim Datuk Azahar Mohamed, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Aziah Ali.

Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong yang adalah anggota kedua panel itu bersara awal bulan ini.

Hakim Md Raus berkata kronologi kes ini menunjukkan bahawa Ridhuan tidak menghormati perintah mahkamah.

Katanya, Ridhuan mengingkari perintah mahkamah untuk membawa kanak-kanak itu dan ini adalah tertakluk kepada penghinaan dan perintah pengkomitan.

Beliau berkata mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah peguam kerajaan yang mempertahankan tindakan IGP dengan alasan kes ini adalah mengenai hak peribadi individu.

"Kami tidak bersetuju kerana kes ini tidak berkaitan dengan hak peribadi perayu (Indira Gandhi) tetapi ini adalah cabaran kepada pentadbiran undang-undang," kata Hakim Md Raus.

Beliau berkata walaupun mahkamah telah memberi Ridhuan setiap peluang untuk memulangkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu (Prasana Diksa), beliau masih enggan berbuat demikian, menyebabkan beliau menghadapi prosiding menghina mahkamah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS