Tan Sri Adenan Satem menyarankan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden Nurul Izzah Anwar menulis kepadanya sekiranya dua anak beranak itu mahu memasuki Sarawak.
Adenan berkata beliau dengar Wan Azizah merancang datang ke Sarawak melalui Sabah untuk berkempen bagi calon-calon PKR dalam pilihan raya negeri itu.
Free Malaysia Today (FMT) memetik Adenan memberitahu satu sidang akhbar malam tadi bahawa tidak ada keperluan bagi Wan Azizah untuk berbuat demikian.
Katanya, apa yang Wan Azizah perlu lakukan adalah menulis kepadanya meminta kebenaran untuk masukke Sarawak.
"Dan saya akan mempertimbangkannya," kata Adenan.
FMT memetik Adenan sebagai berkata Wan Azizah adalah seorang yang baik, kecuali beliau bersama parti yang salah.
"Begitu juga dengan Nurul Izzah. Ya, dia dilarang (masuk Sarawak). Tetapi jika dia meminta dengan baik, dan mengakui hak kami, saya akan mempertimbangkan perkara itu," katanya.
Nurul Izzah dilarang memasuki Sarawak bersama dengan puluhan ahli politik yang lain.
Kerajaan negeri setakat ini hanya membenarkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang.