Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) mempertahankan laporannya sebelum ini yang menamakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Gabenor Irwan Siregar Abdullah sebagai gabenor Bank Negara yang baru.
Dalam satu kenyataan ringkas kepada Malaysiakini, WSJ menerusi penerbitnya, Dow Jones berkata mereka berpegang teguh dengan laporan sebelum ini bahawa pengganti yang sepatutnya menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz adalah sekutu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kami berpegang teguh dengan laporan yang adil dan tepat berhubung cerita yang berkembang ini dan komited untuk berterusan menyediakan liputan peristiwa di Malaysia," kata WSJ.
Akhbar kewangan Amerika Syarikat itu berkata demikian berhubung kenyataan setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, yang berkata bahawa pengumuman Datuk Muhammad Ibrahim sebagai gabenor Bank Negara membuktikan sekali lagi "pembohongan tanpa mengambil kira fakta" oleh WSJ dalam laporan mengenai Malaysia.
"WSJ melaporkannya sebagai fakta beberapa kali, termasuk oleh Ken Brown pada 20 April dan Tom Wright pada 11 Mac, bahawa Perdana Menteri melantik Irwan Serigar Abdullah menjadi gabenor baru dan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan 1MDB.
"Ini berlaku walaupun tiada pengumuman dibuat, dan berdasarkan sumber-sumber yang tidak dinamakan," kata Tengku Sharifuddin, semalam.
Muhammad Ibrahim akan memulakan tugasnya pada 1 Mei selepas Zeti bersara pada akhir bulan ini.
Bagaimanapun, akhbar harian Amerika Syarikat itu dalam satu laporan hari ini mendakwa keputusan untuk melantik Muhammad Ibrahim dan bukannya Irwan adalah pusingan U yang dibuat akibat tekanan.
"Peralihan ini dibuat selepas Zeti, yang meletak jawatan pada akhir bulan ini, menuntut kerajaan melantik seseorang dari Bank Negara untuk menggantikannya, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu," tulis WSJ hari ini.
"Percubaan untuk menghubungi Zeti tidak berjaya. Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab berhubung permohonan untuk mendapatkan ulasan," katanya.
Julai lalu, WSJ mendedahkan dokumen yang didakwa daripada penyiasat Malaysia menunjukkan RM2.6 bilion dan RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
Sejak itu, ia telah menerbitkan beberapa siri artikel yang mengaitkan dana berkenaan dengan 1MDB, yang sering dipetik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengkritik Najib dalam usha mendesak perdana menteri mengundurkan diri.