Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
El Nino: Perak mohon Bukit Merah diisytihar kawasan bencana

Kerajaan negeri Perak akan memohon kepada kerajaan Persekutuan supaya mengisytiharkan Bukit Merah, kira-kira 90 kilometer dari sini, sebagai kawasan bencana disebabkan paras air di Empangan Tasik Bukit Merah semakin susut berikutan cuaca panas dan kering akibat El-Nino.

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata sekiranya kawasan Bukit Merah diisytiharkan sebagai kawasan bencana, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat membantu pesawah yang terjejas khususnya di sekitar Kerian membuat penilaian kerugian.

"Sekiranya diisytiharkan (kawasan bencana), bukan bermakna kawasan itu ditutup tetapi kerajaan akan membuat penilaian dari segi kerugian dan sebagainya khususnya untuk pesawah-pesawah yang terlibat," katanya kepada selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi 2016 peringkat negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Zambry turut meminta pihak berkenaan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya melihat situasi di kawasan itu yang dianggapnya kritikal memandangkan ia melibatkan kawasan tanaman padi seluas 5,000 hektar.

"Hal ini bukannya melibatkan kawasan tasik itu sahaja tetapi melibatkan pesawah di kawasan berkenaan, yang pasti akan memberi kesan kepada jelapang padi di Perak dan negara," katanya.

Bagaimanapun, Zambry berkata pihaknya tetap akan memantau keadaan di Bukit Merah termasuk taburan hujan dari semasa ke semasa untuk sebarang tindakan.

"Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan mengambil langkah seterusnya bagi pengisytiharan itu jika keadaan semakin kritikal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata paras air di Empangan Tasik Bukit Merah pagi tadi bertambah 0.003 meter (0.01 kaki) kepada 6.096 meter (20 kaki) berbanding 6.065 meter (19.9 kaki) yang direkodkan pada Sabtu.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata kenaikan paras air itu disebabkan hujan di kawasan tadahan semalam dan berharap hujan terus mencurah.

Jumaat lepas, Zainol Fadzi berkata bekalan air ke Terusan Besar Bagan Serai di Kerian akan dikurangkan secara berperingkat disebabkan penyusutan air di Empangan Bukit Merah.

Selain itu, pelepasan air ke kawasan sawah padi seluas 4,697 hektar di Selinsing dan Semanggol di Kerian terus ditangguhkan sehingga keadaan bekalan air kembali pulih.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS