Di sebalik bantahan, kerajaan negeri Sarawak terus menghalang pemimpin pembangkang dari ke negeri itu menjelang hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri pada Isnin ini.
Pagi ini, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh menyertai senarai pemimpin pembangkang dan aktivis yang berterusan dihalang kuasa autonomi imigresen Sarawak.
"Mendarat di lapangan terbang Sibu. Dilarang memasuki Sarawak. Saya di sini untuk sebuah acara anjuran gereja," tulis Yeoh di Twitter pagi ini.
Landed at KLIA. My media statement on being banned from entering Sarawak https://t.co/zBv5iHvCI8 pic.twitter.com/1swdRRiiuC
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) April 22, 2016
ADUN DAP Subang Jaya itu memaklumkan beliau terpaksa pulang ke Kuala Lumpur tanpa penjelasan mengenai larangan itu.
"Terpaksa membayar RM1,013 untuk terbang semula ke KLIA. Tiada siapa di sini boleh memberi penjelasan, mereka hanya kata, "Saya minta maaf puan, kita hanya ikut arahan sahaja."
Larangan menjelang pilihan raya Sarawak pada 7 Mei ini memberi kesan besar terhadap pemimpin PKR dan DAP, dua pesaing utama BN.