ULASAN l Kebiasaannya pukat tunda diharamkan kerajaan kerana dia menangkap ikan kecil bersama dengan ikan besar.
Tetapi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) begitu canggih - pukat tundanya boleh menangkap ikan kecil tanpa menggangu ketenteraman dan membiarkan ikan besar bebas!
Jaring pukat yang luas menangkap ikan kecil sementara yg besar boleh terus bolos. Teknologi apa yang digunakan itu?
Malaysia boleh!
Saya tidak menyalahkan SPRM semata mata kerana kalau ada ikan besar "tertangkap" di dalam pukat, ada pulak pegawai SPRM di tukar atau dikenakan apa apa tindakan.
Al-kisah di atas adalah mencerminkan senario penangkapan seorang pegawai Kementrian Belia dan Sukan dengan agak cepat di atas tuduhan "money laundering" atau pengubahan wang haram, dan kesalahan berkaitannya.
Benar, RM100 juta terbabit adalah jumlah yang besar.
Tetapi jumlah seperti RM2 billion atau RM2,000 juta, adalah jumlah jauh lagi besar!
Jadi RM100 juta ialah ikan jauh lebih kecil dari RM2 billion yang jauh lagi besar...!
Kenapa yang menglibatkan RM 2 billion lebih masih tidak ada dengar apa-apa tindakan wal-hal seluruh dunia dari Malaysia ke Abu Dhabi sampai ke Amerika sudah riuh rendah, gempak gempita ceritanya!
Yang sangat anehnya, apabila pindaan pada rang undang undang penggubahan wang haram sedang dibentang di Parlimen tahun lalu, 1 MDB yang di bawah Kementrian Kewangan Malaysia dilaporkan menghantar berbillion ringgit pelaburan ke kepulauan Cayman - pusat utama penggubahan wang haram dan judi dunia!
Kerajaan Malaysia bertindak saperti ketam menyuruh anaknya berjalan lurus kehadapan!
Lebih aneh lagi, sementara kerajaan mencanang berbagai Index Syariah tinggi yang dicapai konon olehnya melaui propaganda Jabatan Perdana Menteri, syarikat milik kerajaan menghantar berbillion ringgit ke pusat pengubahan wang haram dan judi utama dunia di kepulauan Caymen!
Soalan saya di Parlimen bagaimana perkara seperti ini yang sangat bercangah dengan syariah tidak terjawap sehingga ke hari ini! Ini adalah hanya sebahagian contoh kecil yang disebut di sini.
Sampai bila rakyat Malaysia nak diperbodohkan? Undang-undang penggubahan wang haram negara diperketatkan dan indeks Syariah kononnya diamalkan, sementara kerajaan melabur di pusat utama dunia untuk penggubahan wang haram dan judi di kepulauan Cayman.
Di laut terbuka, sementara pukat tunda ajaib kerajaan membolehkan bolos ikan yu dan pauh, ia cekap memekup ikan siakap.
Di darat pula, jerat pihak keselamatan cekap boleh menangkap ibu yang mengambil satu peket Milo untuk anaknya yang lapar, tetapi lambat dan leka untuk memanggil atau menangkap penasihat-penasihat kaya utama 1MDB yang telah merugikan negara RM50 bilion kerana enggan menganggu mereka yang sedang sibuk menjamu selera juadah makanan enak yang tidak kehabisan hidangannya.
Pukat tunda Malaysia sangat bijak dan berperikemanusiaan.
Ia memilih hanya untuk menangkap ikan kecil kerana ikan besar masih belum puas hidup di bumi Malaysia ini.
Mereka masih belum cukup kenyang menjamu selera. Inilah al-kisah Malaysia, tanah airku!
Penulis adalah Ahli Parlimen, Kuala Terengganu yang mewakili parti AMANAH