Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM2.6b dikaitkan dengan latihan tentera bersama Saudi
Diterbitkan:  Apr 20, 2016 7:25 PM
Dikemaskini: Apr 21, 2016 2:31 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini cuba mengaitkan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun perdana menteri daripada Arab Saudi dengan percaturan geopolitik rantau Arab.

Presidennya Mohamad Sabu membangkitkan persoalan sama ada Datuk Seri Najib Razak kini menjadi pak turut dan tidak lagi tertakluk kepada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Saya bimbang jika Malaysia mengambil sikap menyokong satu pihak atas kepentingan tertentu,” kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

“Apakah pengakuan menteri luar Arab bahawa beliau maklum berhubung derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib dan diakui sendiri olehnya menyebabkan perdana menteri tidak lagi tertakluk kepada PBB dalam membuat keputusan dan menjadi pak turut?”

Februari lalu, media melaporkan Malaysia telah menghantar pasukan tentera dalam latihan bersama 20 negara Islam yang diketuai Arab Saudi.

Latihan yang diberi nama “Thunder of the North” itu disifatkan yang paling penting dan terbesar dalam sejarah rantau itu.

Dalam kenyataan hari ini, Mohamad terus membangkitkan dasar berkecuali Malaysia dalam politik antarabangsa.

“Apakah Malaysia yang selama ini terkenal dengan sikap berkecuali dan menjadi pendamai, sudah berubah dasarnya?

“Latihan ketenteraan diketuai Arab Saudi untuk berperang dengan siapa?”

“Saya bimbang jika Malaysia mengambil sikap menyokong satu pihak atas kepentingan tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, Mat Sabu mengingatkan perdana menteri agar tidak mempertaruhkan pasukan keselamatan negara untuk tujuan dan kepentingan pihak tertentu, apatah lagi pihak luar.

Mohamad sebelum ini berkata pengakuan menteri Arab Saudi bahawa kerajaan itu menderma RM2.6 bilion kepada Najib menggambarkan Malaysia dan perdana menteri telah dibeli untuk menyertai blok geopolitiknya.

Bagaimanapun, kenyataan Mat Sabu itu dinafikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang mencabar supaya dakwaan itu dibuktikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS