Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini menerima cabaran daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim untuk berdebat mengenai bola sepak Malaysia.

"Ya, ok," katanya ketika ditanya semasa sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya malam ini.

"Ya tu boleh ditafsirkan dalam berapa lagi cara? Ya tu yes lah. Ya maknanya Ya. Ya bukan bermaksud tidak," katanya apabila diminta pengesahan.

Ditanya sama ada beliau percaya debat itu merupakan langkah yang baik, Khairy berkata "Saya tak tahu sama ada ia bagus atau tidak tapi ia sesuatu yang perlu dilakukan, kan?

"Kalau tidak nanti orang kata kita tak nak bersemukalah, whatever.

"Dia boleh menyuarakan pendapat dan semua orang lain boleh menyuarakan pendapat mereka. Selesai," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia-100 Plus 2015.

Tunku Ismail semalam mencabar Khairy untuk berdebat mengenai keadaan semasa bola sepak Malaysia.

Dalam mengeluarkan cabaran itu, Tunku Ismail juga telah mengungkit semula kes rasuah RM100 juta membabitkan seorang pegawai Kementerian Belia dan Sukan.

Selain Khairy, Tunku Ismail juga melahirkan harapan bahawa perbahasan itu akan disertai oleh Jurulatih Negara Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara Lim Tong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia B Sathianathan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS