Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ikon kewartawanan Said Zahari meninggal dunia
Diterbitkan:  Apr 12, 2016 2:54 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Ikon kewartawanan negara, Said Zahari meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Perkara itu diberitahu oleh anaknya Norman Said melalui tulisan di Facebook.

Norman menulis: "Innalillah. Ayah saya, Said Zahari, telah kembali ke rahmatullah pukul 12.30 tengahari tadi."

Said, 88 merupakan tokoh wartawan yang disegani dan pernah menjadi tahanan ISA di Singapura selama 17 tahun semasa era pemerintahan Lee Kuan Yew sebagai perdana menteri Singapura.

Beliau juga terkenal kerana pernah memimpin wartawan Utusan Melayu melakukan mogok pada tahun 1961 bagi membantah tindakan Umno menguasai akhbar tersebut.

Sementara itu, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin memberitahu, Said merupakan individu yang mengambilnya bekerja sebagai pemberita sambilan bagi akhbar Utusan Melayu (kini Utusan Malaysia) ketika di Alor Setar pada 1958.

Zainuddin berkata, penglibatan Said dengan gerakan nasionalis kiri yang pro-Indonesia menjadi sebab utama beliau ditahan oleh pemerintah Singapura lebih 17 tahun.

Walau apa pun yang dikatakan tentang Said, Zainuddin berkata, bekas wartawan serta pengarang Utusan Melayu itu merupakan seorang pejuang nasional yang berani.

"Apapun yang dikatakan tentangnya, tetapi beliau adalah seorang pejuang nasional yang kental, gigih, berani dan keras hati," tulis Zainuddin dalam blognya, hari ini.

Malah, Zainuddin turut menjelaskan, Said yang merupakan rakyat Singapura telah mendapat sokongannya untuk menjadi pemastautin tetap di negara ini.

"Beliau adalah rakyat Singapura tetapi atas sokongan dari saya kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir (Mohamad), beliau telah diterima sebagai pemastautin tetap negara ini.

"Beliau dianggap sebagai warisan Tan Sri Samad Ismail di Utusan yang terus setia berjuang bersama rakan-rakan sehaluan seperti Usman Awang (Tongkat Warrant), Semani Mohd Amin dan lain -lain lagi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS