Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hanya setelah tiba di Malaysia atas jemputan resmi kerajaan negeri Terengganu, ketua polis negara membuat keputusan untuk membatalkan ceramah perbandingan agama Dr Zakir Naik yang dijangkakan akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Alasan ketua polis negara membayangkan kegagalannya membuat tapisan awal jikalau benar ucapan Zakir dikatakan menimbulkan 'kebencian antara agama'.

Ataukah ketua polis negara tertekan atas desakan Hindraf dan pihak tertentu yang 'tidak suka' cara berhujah Zakir yang bersifat rebuttal kepada hujah doktrin dan dogma agama lain dalam mempertahankan Islam?

Ataukah ketua polis negara 'didesak' oleh negara seperti Amerika, Kanada yang melabel Zakir sebagai penyokong terorisme dan membawa ideologi keganasan?

Jikalau benar andaian di atas, ketua polis negara amat lemah dalam menilai situasi dan hanya bertindak atas ikut-ikut desakan 'orang lain'.

Kedatangan Zakir mestilah dilihat dalam kerangka perdebatan sihat dan dialog bertamadun.

Hindraf atau siapa sahaja yang memendam rasa tidak puas hati terhadap Zakir perlu ambil kesempatan menjemput beliau untuk berdebat, baik secara tertutup atau terbuka pada tajuk yang dipertikaikan.

Melabel seseorang ' satan ' atau 'bahaya' dan menimbulkan 'kebencian antara agama' tanpa memberi ruang untuk didebatkan adalah mencemarkan nama baik mercu ketamadunan.

Zakir berada di ruang lingkup pentas dan bukan di medan pertempuran atau merancang pelan misi pengeboman seterusnya.

Adalah lebih mudah untuk 'bertempur' di medan wacana intelektual agama untuk mensahkan 'bahaya' pemikiran DZN atau betapa ' satan ' hujahnya.

Tumpu slogan Selamatkan Malaysia

Kita hanya memerlukan penghujah balas yang mantap dan ruang kebebasan berdebat untuk membuktikan Zakir adalah berbahaya!

Bagaimana semua ini akan berlaku jika ruang debat ditutup?

Apakah pendesak seperti Hindraf kurang penghujah balas atau sesiapa sahaja yang mahu ' satan ' dihalau dari Malaysia tiada kemampuan untuk berhujah dengan DZN?

Saya mungkin tidak setuju beberapa pandangan Zakir, khusus caranya yang dilihat 'menyerang' doktrin dan dogma sesuatu agama.

Ada kaedah lain juga yang membincang perbandingan agama secara ' sharing ' doktrin dan dogma agama masing-masing tanpa rebuttal dan membiarkan orang ramai bertanya pada pembentang soalan-soalan menurut perspektif agama masing-masing.

Ini juga adalah dalam skop perbandingan agama. Walaupun demikian, saya tidak boleh menghalang kaedah Zakir sebab ada yang tertarik dengan cara begitu dan ia tidak salah dalam konteks perdebatan sihat.

Adakah ketua polis negara atau sesiapa sahaja yang sama waktu dengannya memahami model ini semua sebelum menggunakan kuasa menghalang?

Bagi saya, menidakkan hak perdebatan sihat oleh seorang yang memang tugasnya sebagai pendebat adalah tindakan putar jam ke belakang.

Bagi pendesak yang gagal berhadapan dengan kaedah hujah lawan hujah, ia juga amat dikesali.

Adalah lebih baik kita tertumpu pada slogan Selamatkan Malaysia daripada slogan sekat dan halau Zakir!


DR MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS