ULASAN Hari ini (11 April) negara kita digemparkan dengan pengumuman oleh Ketua Polis Negara akan pembatalan satu seminar yang akan disampaikan oleh seorang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.
Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian menyokong penuh kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia serta membantah sekeras-kerasnya tindakan DAP melalui kata-kata biadap Ramasamy Palanisamy yang mengelar “Satan Zakir Naik”, MIC yang menuduh beliau menghina agama lain, gerakan ekstrimis Hindraf serta pihak-pihak lain yang berusaha menghalang penganjuran serta kehadiran beliau ke sini.
Pendirian ini dibuat berasaskan kesedaran bahawa Dr Zakir Naik adalah seorang pendakwah yang terkenal dalam hal ilmu berkaitan perbandingan agama.
Beliau telah mengangkat ketinggian Islam di mata masyarakat awam sama ada muslim dan bukan muslim dengan pembuktian kebenaran Islam secara berfakta dan perbandingan ajaran Islam dengan kelemahan-kelemahan dan penyelewengan yang terdapat di dalam agama-agama lain.
Segalanya dilakukan dengan penuh fakta tanpa menyeru kepada apa juga bentuk ekstremisme mahupun kekerasan.
Bagaimana mungkin segala penghujahan berfakta sebegini dianggap sebagai suatu perkara yang boleh membawa perpecahan di kalangan masyarakat.
Jika sekiranya terdapat kekeliruan dan ketidakpuasan hati terdapat hujah-hujah beliau, sesiapa sahaja boleh datang dan berhujah dengan beliau. Kenapa beliau perlu di halang daripada menyampaikan pandangan beliau dengan terbuka dan aman?
Tidak diiktiraf Malaysia
Hakikatnya, penentangan kelompok ini bukanlah terhadap individu Dr Zakir Naik itu sendiri. Penentangan yang sebenar adalah terhadap usaha murni beliau untuk menyatakan kebenaran Islam dan penyelewengan agama-agama lain.
Maka pada hakikatnya, pendirian sebenar kelompok ini adalah apa juga usaha ke arah mendaulatkan Islam dan syariat Islam di Malaysia mestilah ditentang sehabis-habisnya.
Lebih menarik lagi, usaha dakwah beliau ini pernah diiktiraf oleh Malaysia sendiri apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menganugerahkan kepada beliau tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Dewan Plenari, PICC, Putrajaya, Malaysia pada 5 Nov 2013.
Tuduhan yang menyebut bahawa penganjuran ini akan menggugat ketenteraman awam atau sensitiviti agama adalah suatu tudahan yang tidak berasas.
Seminar yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik ini bukanlah kali pertama dianjurkan di Malaysia bahkan konsep perbincangan dalam seminar tersebut adalah berasaskan fakta dan hujah bukan emosi tanpa asas.
Perbahasan hujah
Maka kami menyeru kepada mana-mana pihak atau individu yang tidak bersetuju dengan seminar tersebut sama ada di kalangan orang Islam atau tidak untuk hadir mendengar sendiri hujah yang akan dibentangkan dan menyatakan sendiri di hadapan beliau segala hujah dan sebab untuk tidak bersetuju dengan beliau.
Biarlah perbahasan hujah menjadi bahasa pengantara di kalangan kita dalam hal ini.
Kami juga menyeru kepada pimpinan-pimpinan kerajaan di kalangan orang Islam, gerakan-gerakan Islam serta individu yang mengaku sebagai pejuang kepada kemulian serta keindahan Islam itu sendiri untuk bersikap ikhlas terhadap apa yang disebut sebagai perjuangan selama ini.
Buktikan dengan kita sama-sama berdiri dalam satu barisan memastikan suasana Islam itu terus terpelihara.
Kepada umat Islam keseluruhannya, hendaklah kita sentiasa bersatu hati walaupun dengan pelbagai pandangan atau mazhab yang kita pegang. Jangan jadikan kepelbagaian itu menjadi satu bala kepada kita yang akhirnya merugikan Islam tetapi jadikanlah kepelbagaian itu sebagai satu rahmat lalu menjadi asbab untuk kita berperanan sebagai khaira ummah.
Di akhir sekali, kami mengingatkan seluruh rakyat Malaysia umumnya, ingatlah bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara Islam, perkara ini jelas disebut dalam banyak perkara termasuk perlembagaan persekutuan yang menjadi tunjang kepada negara ini.
Oleh itu, sebarang usaha untuk menggugat Islam pada hakikatnya dia sedang mengancam paksi asasi negara ini dan sebarang tindakan untuk mengangkat Islam maka pada hakikatnya dia sedang berjuang untuk mempertahanakan antara paksi utama tanah air tercinta ini.
PROF MADYA DR AZNAN HASAN Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)