Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa, kata Pengerusinya Datuk Hasan Arifin.
Keputusan itu dibuat sebulat suara dan konsesus oleh anggota PAC (yang anggotanya terdiri daripada anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang), katanya dalam wawancara dengan Bernama hari ini.
Laporan PAC berkaitan 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Hasan berkata walaupun sepanjang 18 bulan, wujud pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap perdana menteri, setiap tuduhan telah disiasat oleh PAC.
Hasil penemuan PAC bagaimanapun menjurus kepada kegagalan kronik terhadap proses yang sudah digariskan, peraturan dan prosedur, iaitu pengurusannya, dan bukannya kerajaan, perlu bertanggungjawab, katanya.
Beliau berkata pihak kerajaan sentiasa kekal dengan pendirian bahawa dakwaan dan tuduhan yang dibuat berkaitan rasuah, penyalahgunaan dana dan salah guna kuasa adalah palsu dan tidak berasas.
Hasan berkata sifat tidak berat sebelah PAC, keupayaannya untuk bersidang tanpa kehadiran media, orang awam dankerajaan, adalah antara yang membolehkannya mencapai satu kesimpulan yang seimbang, tepat dan adil.
"Benar, memang berlaku perdebatan dan bantahan terhadap beberapa isu, namun kami akhirnya akan mencapai satu kesimpulan, sebagaimana boleh dilihat dalam laporan ini," kata beliau.
Antara kesimpulan laporan itu semalam adalah tiada bukti untuk mncadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana atau berlaku transaksi pelaburan mahupun pelaburan atau mana-mana aktiviti 1MDB yang menjurus kepada aktiviti menyalahi undang-undang.
PAC juga tidak menemukan sebarang bukti untuk menunjukkan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri, berkaitan 1MDB.
Hasan berkata PAC juga mendapati bahawa RM42 bilion hutang 1MDB tidak 'hilang' sebagaimana tuduhan pelbagai pihak, kerana ia sudah dihitung dan tiada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.
Hasan berkata PAC bagaimanapun mengenal pasti beberapa contoh yang pengurusan 1MDB tidak mematuhi proses tatakelola yang tepat termasuk tidak melaksanakan arahan spesifik Lembaga Pengarah, membuat keputusan sebelum menerima kelulusan sepenuhnya daripada Lembaga Pengarah dan gagal untuk telus dengan Lembaga Pengarah.
"Untuk itu, saranan secara spesifik turut dinyatakan dalam laporan di mana kami yakin pihak berkuasa terbabit akan menilai dan mengambil tindakan, jika perlu," katanya.
Menurut Pengerusi PAC itu, kesimpulan itu juga dicapai ekoran akses kepada maklumat tanpa batas dan penggunaan sumber Parlimen yang banyak yang membolehkan jawatankuasa itu mencapai satu kesimpulan.
Ditanya adakah terdapat satu mekanisme untuk mana-mana individu merayu terhadap pencarian fakta yang dihasilkan PAC, seperti melalui mahkamah atau semakan kehakiman, Hasan berkata memandangkan PAC tidak mengeluarkan hukuman, tiada yang perlu dirayu.
"Bidang kuasa PAC tidak mengeluarkan hukuman, tiada yang perlu dirayu. Bidang kuasa PAC ialah untuk mengesahkan pematuhan fidusiari dan mengutarakan pelanggaran yang memerlukan penilaian lanjut atau siasatan lanjut daripada pihak perkuasa berkaitan," katanya.
Ditanya sama ada penemuan salah laku dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan menjadi asas untuk melakukan penilaian lanjut terhadap GLC lain, Hasan berkata untuk memberi penjelasan lebih tepat, hasil penemuan PAC tidak menjurus kepada salah laku, iaitu satu terma pejoratif atau mengelirukan.
Selain Hasan, PAC dianggotai Naib Pengerusi, anggota Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw manakala anggota jawatankuasa yang lain terdiri daripada lapan anggota Parlimen Barisan Nasional, dua PKR dan masing-masing seorang daripada DAP dan PAS.
- Bernama