Tiada keperluan untuk kerajaan menjalankan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai ekoran pendedahan dokumen 'Panama Papers'.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz bagaimanapun berkata, sekiranya terdapat pihak yang menyerahkan bukti kepada kerajaan, maka siasatan perlu dilakukan.
"Jika mereka (Panama Papers) hanya menulis seperti itu, saya fikir kita tidak perlu ambil tindakan.
"Kalau ada salah laku, (kerajaan perlu) siasat tetapi kita mesti dimaklumkan. Jika tidak, ini (tidak membawa) apa-apa.
"Jika mereka melanggar mana-mana undang-undang Malaysia, maka kerajaan perlu menyiasat. Lagipun ini negara yang bebas," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita sama ada kerajaan Malaysia perlu bertindak dengan menyiasat pihak yang dinamakan dalam 'Panama Papers' seperti yang dilakukan kerajaan India.