Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M kata Ku Li tukar pendirian, kini sokong Najib

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Tengku Razaleigh Hamzah merupakan individu yang memberi cadangan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan cara undi tidak percaya di Parlimen.

Walaupun memberi cadangan sedemikian, namun kata Dr Mahathir, Tengku Razaleigh atau Ku Li kini dilihat telah menukar pendiriannya untuk menyokong Najib.

"Dia dah tukar dia punya pedirianlah.

"Dia ingat kalau satu orang hilangkan RM42 billion itu perkara baik, dia harus sokong, itu hak dia.

"Akhirnya dia yang cadang jatuh Najib ini, dia sokong Najib," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung tindakan Tengku Razaleigh yang menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Najib.

Selain itu, Mahathir turut memberitahu Tengku Razaleigh sebelum ini memberitahunya bahawa undi tidak percaya dapat menjatuhkan Najib.

Tengku Razaleigh kemudian mengedarkan deklarasi undi tidak percaya di kalangan wakil rakyat namun tidak mendapat sokongan majoriti, kata Mahathir.

"Walaupun dia kata dia boleh dapat majoriti, (tetapi) dia tak dapat. Itu saja dia tau. Dia pun tak buat apa dan dia pun suruh orang yang buat," kata Mahathir tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Banyak kali dikhianati Ku Li

Sehubungan itu, ditanya sama ada beliau rasa diri dikhianati oleh Tengku Razaleigh, Mahathir berkata ia bukan pertama kali yang dilakukan oleh anggota parlimen Gua Musang itu.

Menceritakan kembali, Mahathir berkata sebelum ini Tengku Razaleigh pernah mengkhianatinya selepas kalah dalam pemilihan parti dan menyaman Umno sehingga menyebabkan mahkamah mengisytiharkan parti Melayu itu tidak sah.

"Saya dikhianati oleh dia (Ku Li) banyak kali. Bila dia kalah dalam pemilihan, dia saman parti dan bawa ke mahkamah. Dan mahkamah isytiharkan parti tidak sah. Saya perlu menghabiskan masa saya untuk bangunkan semula parti.

"Tetapi dia tidak sertai (Umno), tetapi menubuhkan Semangat 46. Jadi, daripada seseorang seperti itu apa yang kita boleh harapkan?," katanya.

Kenyataan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dipercayai merujuk peristawa pada 1987 apabila Tengku Razaleigh tewas menentangnya bagi jawatan presiden Umno.

Ekoran kekalahan itu, Tengku Razaleigh kemudian menyaman Umno supaya mengisytiharkan pemilihan parti itu terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi kemudian mengisytiharkan Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS