Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan menujukan kritikan terhadap Tun Mahathir Mohamad dalam krisis perlembagaan 1992 yang menyaksikan penghakisan kuasa istana.
Meminta meneliti ulasannya dengan teliti, Tunku Ismail berkata beliau menujukan perkara itu kepada kerajaan persekutuan bagi mengingatkan supaya perkara itu tidak berulang tidak kira siapa pemimpinnya.
“Ia tidak ditujukan kepada Tun Mahathir atau kepada sesiapa. Ia ditujukan kepada sistem.
"Saya tidak menyokong sesiapa yang korup,” katanya demikian dalam wawancara ringkas disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail ditanya sindiran wakil media bahawa beliau memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding Mahathir ( gambar ) sebagai pengkritik utamanya.
Dalam wawancara itu, TMJ mengingatkan pihak media agar tidak memutarbelitkan kata-kata atau mengambil kenyataannya di luar konteks.
Tuanku di pihak mana?
Beliau juga ditanya berada di pihak mana dalam perseteruan Najib-Mahathir tetapi tidak menjawabnya dengan jelas.
“Johor,” katanya ringkas.
Tunku Ismail semalam mengimbas sejarah 1992 semasa pemerintahan Mahathir yang menyaksikan keluarga istana Johor dilayan buruk selepas insiden sultan dan puteranya ketika itu memukul orang awam.
Layanan buruk itu, kata TMJ seperti cubaan membubarkan pasukan askar negeri, arahan tidak menyambut sultan di lapangan terbang dan tidak membaik pulih dan memulihara istana dan kelengkapannya.
Malah, katanya, ibu beliau ketika itu diarah keluar dari kereta dan ditahan pihak kastam ketika kembali dari Singapura.
Beliau bagaimanapun berkata episod 1992 itu adalah perkara lama tetapi menambah bahawa "Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu perkara yang indah.”
Susulan insiden itu, kerajaan bawah pimpinan Mahathir mengadakan sebuah sesi khas parlimen bagi membatasi kuasa dan kekebalan raja-raja Melayu.