Polis hari ini menurunkan tiga papan iklan #BebasAnwar di sekitar Ampang yang menuntut pembebasan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di Penjara Sungai Buluh, Selangor.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga adalah ahli parlimen Ampang berkata tindakan itu adalah provokasi yang sengaja dilakukan untuk mendapatkan respon beremosi daripada kerajaan negeri Selangor meskipun permit untuk menaikkan papan tanda tersebut telah diluluskan oleh kerajaan tempatan masing-masing.
"Tindakan ini cukup tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila wujud saluran-saluran yang betul yang boleh diguna Ketua Polis Negara jika beliau melarang papan tanda #BebasAnwar itu.
"Kita nantikan sama ada papan tanda tersebut diturunkan benar-benar di atas arahan bos beliau atau ia merupakan satu isu peribadi antara IGP, dengan Anwar Ibrahim PKR dan rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zuraida, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melampaui batasnya dan berikrar parti itu tidak akan berdiam diri.
"Beliau perlu bersifat profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai IGP dan tidak mengganggu hal ehwal pihak berkuasa tempatan," katanya.
Unsur hasutan
Bukit Aman pada Sabtu lalu meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar di negeri itu kerana didakwa memaparkan unsur-unsur hasutan.
Khalid menerusi akaun twitter berkata polis sedang mengesan papan tanda itu yang didapati mempunyai unsur hasutan dan mengelirukan rakyat.
"@PDRMsia kesan billboard (papan iklan itu) dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai 'Tahanan Politik'.
"Pada masa sama, PBT diminta turunkan billboard yang menghasut," katanya.
Selain itu, katanya polis sedang mengambil tindakan terhadap Pengerusi NGO Selangor Datuk Jamal Md Yunos kerana mengugut untuk membakar papan iklan #BebasAnwar.
Maksud peliwat
Rabu lalu, Jamal yang mengetuai sekumpulan individu menampal kain rentang di papan tanda #BebasAnwar di Ampang Jaya sebagai tanda protes selain mengugut untuk membakarnya.
Jamal berkata kandungan papan iklan itu mencabar keputusan mahkamah terhadap Anwar.
Beliau sebaliknya, menaikkan kain rentang sepanjang dua meter itu untuk menerangkan maksud 'peliwat' dengan agak terpeinci.
"Anwar Ibrahim adalah pesalah peliwat yang telah dijatuhkan hukuman.
"Maksud peliwat adalah: Anwar Ibrahim memasukkan batang zakarnya ke dalam lubang dubur lelaki secara paksa," tulis kain rentang tersebut.
Beliau mendakwa terdapat lebih 20 papan iklan itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor termasuk di Subang dan Rawang.
Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukum penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.