Semua sekolah di Kedah dan Perlis ditutup selama dua hari bermula esok berikutan cuaca panas melampau.
Arahan penutupan itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid.
Menulis di laman Facebook , katanya, keadaan cuaca panas itu berikutan fenomena El Nino.
Bagaimanapun, menurut Mahadzir, penutupan itu hanya membabitkan murid-murid sahaja.
“Fenomena El Nino- Kedah & Perlis (22-23 Mac 2016) seluruh sekolah ditutup utk PdP murid sahaja.
“Guru kena hadir. Tidak perlu diganti. Kenyataan rasmi menyusul,” katanya.
Berikutan fenomena El Nino, Malaysia, khususnya di Kedah dan Perlis mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah taburan hujan yang berkurangan.
Sesi persekolahan di Kedah, Johor, Kelantan dan Terenganu bersambung pada 20 Mac ini, manakala negeri-negeri lain ia bermula hari ini, selepas tamatnya cuti pertengahan penggal pertama 2016.
Sementara itu Bernama melaporkan ekoran cuaca panas melampau, semua sekolah di Kedah dan Perlis diarah tutup selama dua hari bermula esok.
Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu diambil setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan susulan suhu yang melebihi 37 darjah Celcius.
"Hanya proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di dua negeri itu ditutup. Bagaimanapun, guru-guru perlu hadir ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya di Damansara, hari ini.
Mahdzir berkata kementeriannya juga akan terus memantau keadaan cuaca di negeri-negeri lain dan akan membuat pengumuman lanjut berdasarkan keadaan semasa.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekolah di sesuatu kawasan akan ditutup jika suhu melebihi 37 darjah Celsius selama lebih 72 jam.
Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan sebanyak 853 sekolah termasuk 621 sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah serta 413,786 pelajar di Kedah dan Perlis terlibat dalam penutupan sekolah itu.
Mereka terdiri daripada 397,832 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah serta 15,954 murid prasekolah.
Menurut KPM, penutupan sekolah di kedua-dua negeri itu tidak perlu diganti dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbabit perlu sentiasa memantau bagi memastikan pematuhan arahan penutupan itu.
"KPM ingin menegaskan bahawa penutupan ini hanyalah melibatkan ketidakhadiran murid-murid sahaja. Operasi pentadbiran sekolah kecuali aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid, hendaklah berjalan seperti biasa," kata KPM dalam kenyataan.
KPM juga akan mengeluarkan pemakluman dari semasa ke semasa berhubung sebarang perubahan berkaitan fenomena itu.