Ketua Menteri Pulau Pinang yang kini terpalit dengan kontroversi ekoran pembelian seunit rumah di George Town menjemput Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, bertemu dengannya untuk "mencari kebenaran".
Kata Lim Guan Eng, beliau mempelawa Shabudin bersemuka di depan media pada Ahad ini bagi membolehkan kedua-dua pihak membentangkan fakta berhubung isu berkenaan.
"Daripada pertemuan ini rakyat Malaysia boleh menilai sendiri siapa yang bercakap benar, siapa yang bersih dan siapa yang membuat tuduhan liar," katanya.
Tambah Lim, beliau ingin melihat sendiri maklumat yang ada pada Shabudin sehingga tuduhan berkenaan dibuat terhadapnya.
"Saya tiada apa-apa untuk disembunyikan," katanya.
Ketika berbahas di Parlimen semalam, ini Shabudin mendakwa Lim terlibat dalam amalan rasuah apabila membeli seunit rumah pada harga yang dianggapnya lebih murah daripada pasaran.
Rumah itu, kata Shabudin, sebelum ini disewa Lim yang enggan tinggal di kediaman rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang kerada ada masalah anai-anai.
Menurut Lim, transaksi antara beliau dan pemilik rumah berkenaan dibuat secara tulus serta berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
Lim juga mendakwa rumah berkenaan dibeli daripada individu dan bukan pemaju perumahan.
Rumah banglo dua tingkat terletak di Jalan Pinhorn itu berusia lebih 30 tahun dibeli Lim pada Julai 2015 dengan harga RM2.8 juta.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata dia mengambil pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta manakala baki RM700,000 dibayar secara tunai hasil perolehannya sebagai ketua menteri dan wakil rakyat.
"Selepas tujuh tajun menjadi ketua menteri saya akhirnya membeli sebuah rumah di Pulau Pinang.
"Selagi tiada paksaan atau campur tangan tidak wajar, kontrak pembelian rumah adalah seperti suatu perkahwinan - terserah kepada kedua-dua pihak menentukan apakah harga yang dipersetujui, atau siapa yang layak menjadi pasangan," katanya yang juga ADUN Air Puteh.