Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib puji Tesco tapi ingatkan rakyat jangan mencuri
Diterbitkan:  Mar 16, 2016 6:52 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat bahawa terdapat pelbagai saluran untuk mendapatkan bantuan dan mencari rezeki yang halal.

Dalam tulisan di blog, Najib mengulas kes seorang lelaki ditangkap kerana mencuri di sebuah pasar raya besar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tetapi sebaliknya ditawarkan pekerjaan.

“Saya terbaca mengenai kisah kecurian di Tesco Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang membabitkan seorang bapa dengan tiga anak kecil yang perlukan makanan manakala isterinya terlantar sakit di unit rawatan rapi.

“Walaupun mencuri itu satu kesalahan dari segi undang-undang, tetapi cara bagaimana pihak pengurusan Tesco Bukit Mertajam mengendalikan kejadian tersebut, dengan menawarkan bapa tadi untuk bekerja dengan mereka, haruslah dipuji,” katanya.

Antara saluran itu, kata Najib, adalah dengan menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sentiasa sedia membantu sama ada dari segi kewangan, khidmat nasihat dan cara lain.

Bagi yang beragama Islam pula, menurutnya, mereka boleh mengunjungi atau menghubungi cawangan Lembaga Zakat negeri untuk mendapatkan bantuan.

Najib berkata meskipun lembaga zakat sering melakukan tinjauan untuk mencari dan membantu mereka yang layak, namun sekiranya ada ahli keluarga atau kenalan yang tahu mengenai sesiapa yang memerlukan bantuan, mereka boleh juga tampil dan memaklumkannya.

Selain daripada mendapatkan bantuan, Najib juga menggalakkan rakyat supaya mengunjungi cawangan Jabatan Tenaga Kerja berdekatan atau secara atas talian bagi meninjau kekosongan dan tawaran kerja yang ada.

“Ingatlah bahawa Allah SWT berpesan dalam surah Al-Baqarah ayat 286, ‘Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.’

“Berpeganglah kepada prinsip ‘Man jadda wajada’, iaitu sesiapa yang berusaha, Insya-Allah akan mendapat apa yang diusahakannya,” katanya.

The Star Online semalam melaporkan, seorang lelaki berusia 31 tahun yang tidak disiarkan namanya telah mencuri beberapa barangan makanan bernilai RM27 dari Tesco di Alma, Bukit Mertajam, kerana anak-anaknya kelaparan dan dia tidak mempunyai wang.

Pengurus pasar raya besar itu, Radzuan Ma'asan dipetik sebagai berkata bahawa lelaki berkenaan didapati benar-benar miskin apabila pihaknya menyiasat insiden yang berlaku minggu lalu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS