Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mampu menggelengkan kepalanya berikutan tohmahan di media sosial yang mendakwa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskanda menolak untuk bersalaman dengan dirinya.
Mengulas dakwaan itu hari ini, Najib berkata, baginda juga sebenarnya menyambut kehadirannya di istana.
“Sultan Johor tunggu saya di istana, minum teh dengan dia, naik kereta yang dipandunya.
“Saya duduk sebelah, berbual dalam kereta, takkan itu pun salam lagi, nanti orang kata gila, (di) istana sudah salam, naik kereta sama,... (nak) salam lagi?” katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Kami Anak Felda, di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib membuat penjelasan itu kerana blog dan video di media sosial memaparkan kononnya pada pertemuan di majlis pelancaran Forest City di Johor minggu lalu, sultan Johor tidak mahu bersalaman dengannya.
Video berkenaan memaparkan baginda bersalaman dengan rakyat selepas tiba dan tidak mempedulikan Najib serta terus berjalan ke hadapan.