Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'I nak bunuh you, kena notis 14 hari?'
Diterbitkan:  Mar 8, 2016 7:15 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said mempersoal alasan berkaitan notis awal digunakan bagi mengemukakan usul tidak percaya terhadap penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Said menegaskan undi tidak percaya dikemukakannya tiada hak dihalang dan menteri besar hanya mempunyai pilihan membubarkan parlimen atau meletakkan jawatan bila ia berlaku.

“Kalau notis, I nak bunuh you , bagi notis 14 hari?” soalnya.

Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong petang ini menolak usul itu dan berkata kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari dikecualikan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Said berkata jika peraturan itu digunakan, maka usul undi tidak percaya tidak akan berjaya dibentangkan sehingga hari kiamat sekalipun.

Katanya, usul itu tidak termasuk dalam peruntukan Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.

“Speaker salah guna kuasa sebab peraturan dewan tak boleh mengatasi perlembagaan.

“Speaker kata berdasarkan budi bicara, ini bukan soal budi bicara,” katanya.

ADUN Kijal itu membuat kejutan tengah hari tadi semasa sesi membahas titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Abidin dengan mahu membentang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata beliau masih adalah ahli Umno tetapi enggan mendedahkan tindakan seterusnya.

“(Saya) masih lagi ahli Umno, tengok perkembangan parti nak buat apa.

“Tak boleh beritahu. Takkan nak bagi tahu,” katanya.

Bekas menteri besar, bagaimanapun, tidak bimbang dengan sebarang tindakan sekiranya Umno mahu bertindak ke atasnya kerana membuat usul undi tidak percaya itu.

“Kalau (Umno) nak pecat, gantung, terpulang, dia berkuasa. Dia kan ada kuasa, dia buatlah,” katanya.

Ditanya apa yang mendorong beliau untuk membentangkannya usul itu, Ahmad berkata beliau telah berdiam diri selama hampir dua tahun.

“(Saya) dipaksa letak jawatan, kalau rakyat tak terima , saya terima.

“Apa salah saya, malukan saya sebegitu rupa, kita pun ada maruah juga,” katanya lagi.

Razif memulakan tugas pada Mei 2014 sebagai menteri besar menggantikan Ahmad Said yang dipaksa meletakkan jawatan setelah kemelut pertukaran kepimpinan tertinggi negeri itu.

Ahmad ketika itu dilapor membantah pertukaran itu, antaranya kerana ia timbul menjelang majlis perkahwinan anaknya.

Beliau malah mengambil keputusan drastik keluar Umno, tetapi menyertai kembali parti itu tidak berapa lama selepas itu.

Beliau kemudian dilihat bersama dalam beberapa acara dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahatir Mohamad yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terutamanya dalam isu 1MDB.

1MDB pada mulanya ditubuhkan dengan nama Terengganu Investment Authority (TIA) ketika era kepimpinan Ahmad.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS